Jabatan Perikanan memberi jaminan udang yang diternak oleh 1,200 pengusaha udang di negara ini bebas daripada kandungan antibiotik terlarang.

Ketua Pengarahnya Datuk Ismail Abu Hassan berkata ini kerana jabatan itu sentiasa membuat analisis dan pemantauan antibiotik terhadap operasi penternakan udang di semua ladang ternakan berkenaan di seluruh negara.

"Sejak 2008 lagi sebanyak 2,466 sampel diambil dari ladang ternakan udang di seluruh negara untuk dianalisis dan sepanjang pemantauan dilakukan tidak ada seekor pun udang yang diternak itu mengandungi bahan antibiotik terlarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek ternakan dan kilang pemprosesan udang laut di Syarikat LKPP Corporation Sdn Bhd di Pekan hari ini yang turut dihadiri Pengarah Perikanan negeri Datuk Adnan Hussin.

Sehubungan itu, Ismail berkata pengeksport dari negara luar dan pengguna di negara ini tidak perlu lagi ragu-ragu tentang tahap kualiti udang keluaran dalam negara ini.

Beliau berkata pemeriksaan juga mendapati kebanyakan pengusaha udang terbabit hanya menggunakan bahan semulajadi dalam usaha mencegah segala jangkitan penyakit terhadap udang ternakan mereka.

"Jangkitan penyakit ini satu daripada masalah utama dalam ternakan udang, namun pengusaha lazimnya menggunakan bahan semulajadi contohnya asam jawa untuk membunuh virus bagi merawat udang-udang ini," katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata sasaran baharu pengeluaran akuakultur di bawah Dasar Agromakanan Negara berjumlah 1.443 juta tan metrik dengan sumbangan akuakultur air tawar sebanyak 313,320 tan metrik.

Selain itu, akuakultur air payau disasar mengeluarkan hasil sebanyak 400,000 tan metrik dan komoditi rumpai laut pula 730,000 tan metrik menjelang 2020.

"Sasaran bagi pengeluaran udang laut pula adalah sebanyak 180,000 tan metrik dan bagi mencapai sasaran itu, pihak jabatan telah menyediakan Pelan Tindakan bagi menggalakkan pembangunan akuakultur ke arah mencapai 50 peratus daripada jumlah pengeluaran ikan negara menjelang 2020," katanya.

- Bernama