Khutbah bidas kelompok antiraja
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini membidas kelompok antiraja kerana menganggap sikap negatif mereka boleh mengalihkan kesetiaan rakyat sekali gus bertentangan dengan prinsip Rukun Negara.
“Sebarang sikap negatif yang boleh mengalihkan kesetiaan tersebut adalah merupakan elemen yang bertentangan sama sekali dengan prinsip Rukun Negara.
“Bahkan sudah kerap kedengaran laungan golongan antiraja yang sering mencemar kedaulatan seri paduka baginda, melemahkan urus tadbir negara dan membawa angin kebencian terhadap perpaduan,” menurut teks rasmi dikeluarkan Jakim untuk khutbah Jumaat itu.
Jakim turut menegaskan kepada jemaah dan seluruh umat Islam, kedaulatan Islam dan kemajuan negara berpayung kepada kekuatan kepimpinannya.
“Sayugia itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara sama ada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga negara dan kesucian agama Islam, dikagumi oleh pelbagai lapisan rakyat jelata.
“Rakyat menjunjung kasih dan merafak sembah atas keprihatinan seri paduka baginda dalam memartabatkan agama Islam, memajukan negara dan membantu kehidupan rakyat agar dapat hidup dengan aman dan harmoni dalam perkembangan dunia semasa,” kata teks itu.
Justeru Jakim mengingatkan umat Islam di negara ini untuk menghormati kepimpinan beraja kerana mereka merupakan contoh teladan, pedoman dan naungan rakyat jelata.
“Dalam konteks Malaysia pada hari ini, kita sedia maklum bahawa kesetiaan kepada raja dan negara merupakan prinsip kedua daripada lima prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara yang menjadi ideologi nasional yang perlu kita ikuti.
“Jelasnya, kepimpinan beraja berperanan memberi kepimpinan, menjadi contoh teladan, pedoman, harapan dan naungan rakyat jelata.
“Sememangnya, raja perlu dihormati atas kelebihan dari segi akal bicara, kebijaksanaan, hikmah, kegagahan, pengetahuan, sahsiah, keberanian, dan keupayaannya mengatasi cabaran,” menurut teks itu lagi.

