Peniaga didakwa ugut pakar ortopedik HKL
Seorang peniaga wanita hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengugut seorang doktor pakar bedah ortopedik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Selasa lepas.
Tan I Lynn, 32, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.
Dia didakwa mengugut dan mengancam untuk mendatangkan kematian terhadap Dr Mohd Zakhiri Mohd Rashid, 36, dengan niat menyebabkan kegentaran terhadap mangsa.
Semasa melakukan ugutan jenayah itu, wanita itu didakwa menyembunyikan nama atau tempat tinggalnya daripada diketahui.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di HKL, Jalan Pahang pada 4 petang, 31 Mei lepas mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Tan diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi manakala peguam Ahmad Ridza Mohd Noh mewakili Tan.
- Bernama

