Kes pedofil: AG akan hubungi rakan sejawatan di UK
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan menghubungi rakan sejawatannya di United Kingdom bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes pedofil Britain Richard Huckle.
Beliau berkata perkara itu bagi membolehkan siasatan lanjut mengenai kes itu dijalankan di negara ini.
"Masalahnya, tidak ada laporan polis dilakukan (di Malaysia) mengenai kes itu. Sebab itu, perkara ini senyap sehinggalah orang itu (Huckle) ditangkap di England baru-baru ini.
"Apa yang sebenarnya berlaku di Malaysia, kita tidak tahu... kita kena siasat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini ketika diminta mengulas mengenai kes berkenaan.
Mohamed Apandi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu namun berkata beliau akan mendapatkan maklumat berkaitan daripada Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom di Malaysia.
Media Britain melaporkan bahawa Huckle, 30, seorang jurugambar bebas, melawat Malaysia untuk program penempatan mengajar semasa dia berusia 18 atau 19 tahun sebelum dia melatih kanak-kanak untuk seks ketika melakukan kerja sukarela di Kuala Lumpur.
Huckle, dilaporkan mengajar kanak-kanak di sebuah gereja di ibunegara dan turut menghadiri khutbah di gereja tersebut selama enam tahun ketika menjelajah negara Asia Tenggara.
BBC melaporkan prosiding untuk menjatuhi hukuman terhadap Huckle bermula di London pada Rabu dan selesai Jumaat.
Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya mengaitkan kepada 23 kanak-kanak kebanyakannya daripada golongan miskin di Kuala Lumpur, dan dia mengaku bersalah terhadap 71 tuduhan.
Terdahulu, Mohamed Apandi dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran 'Tan Sri' oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan 2016 bersempena Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka di Istana Negara.
Beliau mengetuai senarai 39 penerima darjah kebesaran Persekutuan yang dikurniakan Tuanku Abdul Halim hari ini.
Mohamed Apandi, 66, berkata anugerah PMN itu merupakan penghormatan buat dirinya dan Jabatan Peguam Negara.
"Anugerah ini akan memberi semangat yang baru. Saya yakin dan percaya, dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan lagi," katanya.
- Bernama

