Ketua penerangan parti komponen BN bincang usul Hadi Rabu ini
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa akan berjumpa dengan semua ketua penerangan parti komponen BN pada Rabu ini untuk membincangkan isu berkaitan usul rang undang-undang persendirian iaitu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.
Beliau berkata pertemuan itu, yang turut melibatkan pakar undang-undang syariah, akan diadakan di ibu pejabat BN di Kuala Lumpur bagi menyelesaikan sebarang salah faham terhadap rang undang-undang itu, yang dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 26 Mei lepas.
"Ada kata rang undang-undang ini jendela kepada hudud... banyak sangat yang salah faham," katanya kepada pemberita selepas program pemimpin bersama pelajar cemerlang MARA di Maktab Mara Kuala Kangsar hari ini.
Beliau berkata isu itu perlu diselesaikan dalam semangat BN yang penuh dengan budaya saling hormat menghormati antara parti komponen.
Sementara itu di Muar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim meminta semua pihak termasuk pemimpin parti politik supaya mengambil langkah untuk memahami rang undang-undang supaya tidak timbul salah faham terhadap proses pindaan bagi memperkasa institusi mahkamah syariah di negara ini.
Sehubungan itu, beliau meminta mereka mengelak sebarang andaian dan tuduhan yang boleh mengakibatkan perselisihan faham.
"Proses sekarang adalah untuk semua pihak yang berminat mengumpul maklumat dan menyediakan fakta bagi dipertimbangkan bila tiba masanya nanti," katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan program MyLesen Parlimen Muar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota Parit Raja.
Seramai 400 orang remaja mengikuti program MyLesen itu, yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Muar.
- Bernama

