Dr M pasti turun PRK, jadual sedang disusun
Tun Dr Mahathir Mohamad pasti akan turun berkempen bagi mengalahkan calon BN dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Bekas pemimpin Umno Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata pihaknya tengah menyusun jadual kempen bekas perdana menteri itu.
"Secara tak langsung, Tun Mahathir akan turun atas dasar Deklarasi rakyat.
"Dia akan berkempen di aktiviti Pakatan Harapan tapi atas platform Deklarasi Rakyat.
"Kalau Pakatan Harapan anjur program Deklarasi Rakyat selamatkan Malaysia sudah pasti Tun Mahathir akan turun," kata Khairuddin yang hadir bersama Pakatan Harapan ke pusat penamaan calon Sungai Besar hari ini.
Proses penamaan calon di Dewan Seri Bernam itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara BN, PAS dan Amanah.
BN diwakili Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi, PAS diwakili ADUN Meru yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman manakala Pengerusi AMANAH Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur bertanding mewakili Amanah.
Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar terdiri daripada 42,365 pengundi biasa dan 286 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Jun sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun bagi kedua-dua kerusi Parlimen itu.

