ULASAN Hampir-hampir tiada ungkapan dapat menjelaskan perasaan terharu dan bangga kita melihat perjalanan muktamar PAS kali ini berlangsung dengan penuh makna.

Suka atau tidak muktamar PAS tahun ini nampak begitu segar dan bernas lagi berwawasan.

Kemunculan pahlawan-pahlawan di kalangan adinda-adinda PAS amat menyentuh hati dan menyerlahkan lagi tahap kematangan politik parti Islam itu ketika ini.

Mungkin juga ia adalah natijah kepada langkah politik PAS menjalin pakatan dengan kumpulan berpengaruh besar dalam negara, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) pada Mac lalu.

Kemuncak perubahan ketara politik PAS yang lihai itu adalah pada hari ucapan dasar dibacakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Muktamar di Kota Bharu Kelantan lalu menjadi penegasan tuntas pembentukan blok ketiga pembangkang (oleh PAS dan IKATAN) dengan paparan simbolik keris sepanjang hampir tiga depa membelah pulut hijau putih di atas pentas utama muktamar.

Ternyata PAS begitu pragmatik dalam dasar dan perlaksanaan langkah politiknya sejak parti itu dibebaskan daripada pengaruh ahli parasit yang membinasakan.

Cuma sayangnya di majlis penuh bersejarah dan kental dengan kebudayaan Melayu itu tidak dihiasi dengan kehadiran Datuk Ibrahim Ali.

Kita sebenarnya perlukan detik-detik manis dan penuh ukhwah antara Ibrahim dan Abdul Hadi seperti pernah mereka pamerkan di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur suatu ketika dulu.

Kemesraan itu sebenarnya signifikan diulang semula di Kota Bharu kerana suatu ketika dulu di ibu negeri Kelantan itu jugalah PAS dan Ibrahim menjalin hubungan akrab sehingga berjaya menumbangkan BN dalam pilihan raya 1990.

Memanglah ada Tengku Razaleigh Hamzah ketika krisis Umno itu berlaku (dan kemudian membentuk Parti Melayu Semangat 46). Namun Ibrahim adalah hulubalang kepada parti Tengku Razaleigh itu.

Jika anak-anak muda PAS adalah adinda, maka Ibrahim layak juga dianggap sebagai ayahanda.

Kelantan sudah ditadbir parti bukan BN selama lebih suku dekad. Atau lebih tepat, kira-kira 26 tahun. Jika kerajaan itu adalah susuk manusia, ia sudah menjadi anak muda yang perkasa.

Mungkin kemunculan 'pendekar' yang berpencak silat di muktamar itu adalah simbolik anak muda bernama kerajaan Kelantan itu.

Dua puluh enam tahun adalah usia yang matang. Jika seorang perempuan, usia 26 tahun adalah masa cukup ranum untuk dirisik dan dihantar pinangan oleh pemuda idaman hati. Biasanya pemuda itu lebih berusia dan matanglah.

Dan zaman sekarang jurang usia untuk melayarkan bahtera rumahtangga bukanlah terlalu rigid. Lelaki yang berniat meminang itu boleh saja berusia 28 tahun atau 70 tahun.

Untuk bahagia dalam perkongsian hidup berumahtangga usia bukanlah faktor nombor wahid untuk dijadikan penentu, sebaliknya keserasian, saling memahami dan persefahaman terhadap keperluan keluarga adalah keperluan paling mendasar.

Untuk melicinkan urusan peminangan, pertunangan dan pernikahan bolehlah khidmat mana-mana pihak yang diyakini membawa gerakan kesederhanaan - sama ada di peringkat global atau tempatan - diberi peranan.

Bagaimanapun, apa yang paling penting daripada itu muktamar PAS kali ke-63 yang baru lalu membuktikan bahawa parti berkenaan sebenarnya kental dengan semangat kemelayuan.

Jika selama beberapa dekad ciri itu terselindung di sebalik serban dan jubah, kali ini adinda-adinda dalam pemuda menyelaknya untuk ditatap umum secara jelas dan terang. Tidak perlu lagi bersuluh-suluh.

Keris sepanjang hampir tiga depa itu adalah buktinya. PAS menunjukkan mereka sebenarnya memiliki kekuatan akar Melayu yang bukan calang-calang.

PAS bukan lagi berangan-angan menduga lautan dalam dengan kail panjang sejengkal, tapi dengan keampuhan keris terpacak berdepa-depa.

Islam memang tetaplah Islam. Nama parti itu sendiri tertancap perkataan "Islam", cuma sebelum ini aspek bangsa dan kemelayuan belum cukup dipertegaskan, sehinggalah ke muktamar yang berakhir Jumaat lalu.

Dan ia membuka suatu potensi lain yang mungkin diabaikan penyokong PAS selama ini, iaitu memungkinkan kemunculan semula beberapa pemimpin pelapis yang berkualiti untuk membawa parti itu lebih cemerlang selepas Abdul Hadi dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Datuk Dr Hasan Ali, misalnya.