Calon BN, Mastura Mohd Yazid menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau dipaksa mewakili parti itu bagi bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar.

Ketika menjawab soalan pemberita, Mastura yang pertama kali mengadakan sidang media hari ini menegaskan keputusan itu dibuat dengan rela hati.

“Itu (dipaksa bertanding) tak benar, saya tidak dipaksa dan saya buat dengan kerelaan hati saya serta Allah SWT,” kata Mastura dalam sidang media di kediamannya selepas selesai proses penamaan calon hari ini.

Sebelum ini pencalonan Mastura dipertikai sesetengah pihak memandangkan tempoh idahnya masih belum berakhir berikutan kematian suaminya, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga penyandang bagi kerusi parlimen berkenaan.

Dalam pilihan raya kecil itu, Mastura akan berdepan lawannya dari PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad, calon AMANAH yang diwakili Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Ketika ditanya mengenai kritikan mengatakan beliau bukan calon tempatan, Mastura berkata beliau sudah menetap di Kuala Kangsar sejak lebih 27 tahun lalu dan isu itu tidak timbul.

“Saya berkahwin dengan anak jati Kuala Kangsar dan saya juga telah menetap di sini selama 27 tahun, soal calon tempatan bukan lagi isu.

"Jika saya ditakdirkan menang sekalipun dan memerlukan saya mewakili Kuala Kangsar di parlimen, saya yakin rakyat akan memahaminya," katanya yang menyerahkan nasibnya kepada pengundi di kawasan itu.

Mastura berkata beliau akan meneruskan perjuangan Allahyarham suaminya sekiranya BN diberi mandat sekali lagi termasuk meneruskan projek menaik taraf pesisir Sungai Sayong.

Justeru itu, katanya, meskipun tidak dapat turun berkempen dalam PRK berkenaan, Mastura berharap anggota BN akan dapat membantu kemenangannya.

“Saya harap walaupun saya perlu menjalani tempoh idah dan perlu berada di rumah, saya yakin rakan-rakan di luar sana akan membantu parti untuk meraih kemenangan kali ini.

“Saya harus meletakkan hukum lebih utama daripada segalanya supaya kita semua akan mendapat keredaan Allah SWT,” tambah Mastura.

Kerusi parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. SPR menetapkan 18 Jun depan sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun bagi PRK berkenaan.