Dua lagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihantar ke kem Kamunting malam tadi, menjadikan jumlah enam orang aktivis reformasi ditahan selama dua tahun sejak 2 Jun lalu.

Menurut R Sivarasa, peguam bagi Dr Badrul Amin Bahron dan Lokman Noor Adam, perintah tahanan itu ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

Sehingga hari ini Badrul sudah menjalani tahanan selama 55 hari, sementara Lokman ditahan 51 hari.

Badrul, ahli jawatankuasa pusat Parti Keadilan Nasional, ditangkap di rumahnya pada jam 2 pagi pada 20 April lalu, sementara Lokman, aktivis Pemuda parti itu, ditahan selepas tengah malam 24 April di Shah Alam, Selangor.

Permohonan habeas corpus bagi kedua-dua tahanan itu yang sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini dibatalkan saat-saat akhir. Peguam Badrul dan Lokman akan merujuk perkembangan terbaru ini kepada mereka sebelum menfailkan permohonan baru.

Badrul dan Lokman akan menyertai empat lagi tahanan ISA di kem itu, Naib Presiden Keadilan Tian Chia, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, ahli jawatankuasa pusat parti itu Saari Sungib dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais.

Manakala empat tahanan telah dibebaskan, termasuk dua atas arahan mahkamah Shah Alam. Sepuluh orang ini ditahan antara 10 hingga 26 April lalu berhubung dakwaan cuba "menggulingkan kerajaan dengan cara-cara militan."

Dalam perintah tahanan terhadap Badrul, Kementerian Dalam Negeri menyebutkan aktivis itu mendakwa "Perdana Menteri menolak Islam, sebaliknya membenarkan gereja dibina di atas tanah miliknya." Bekas pensyarah undang-undang itu juga didakwa berkata: "... ulama-ulama dihina (oleh pemimpin kerajaan) dan dianggap lebih jahat daripada komunis."

"Dakwaan-dakwaan kamu (Badrul) tersebut boleh menimbulkan kekeliruan serta kekacauan di kalangan rakyat berbilang kaum serta agama di Malaysia dan akan menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan," perintah tahanan itu dipetik.

Berani menghadapi polis

Beliau dituduh berkata demikian dalam satu ceramah pada 3 Mac lalu, yang dihadiri kira-kira 1, 800 orang di Felda Chini Timur Satu, Pekan, Pahang.

Selain itu, Badrul juga dituduh menyeru orang ramai agar berani menghadapi risiko tindakan polis seperti "disembur air dengan meriam air (water-canon), bermandikan asid (air daripada meriam itu), dipukul serta dimasukkan dalam penjara" jika kerajaan tidak membebaskan tujuh orang tahahan ISA waktu itu.

Beliau dikatakan menyampaikan ucapan itu di Durian Tunggal, Melaka di depan 500 orang pada 18 April lalu.

Sementara Lokman pula dituduh cuba "mendapatkan bantuan gerila pemisah di sebuah negara jiran antara Mac dan April tahun lalu dan menggunakan bahan letupan bagi mengancam nyawa pemimpin-pemimpin negara ini."

Bagaimanapun perintah tahanan itu tidak menyebutkan butiran lanjut tentang kumpulan pemisah itu atau bahan letupan.

Lokman turut dituduh mengarahkan penyokong reformasi menyediakan 240 batang rotan untuk dijadikan senjata bagi mempertahankan diri semasa perhimpunan 'Black 14' tahun lalu.

Beliau dikatakan merancang perkara itu dalam dua perjumpaan yang dipengerusikannya pada Mac dan April tahun itu di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur.

Aktivis Pemuda itu juga dituduh berkata "orang ramai berhak memukul pihak berkuasa (polis) yang masuk menyuraikan satu ceramah" di Mukim Malau, Jitra, Kedah pada 14 Februari lalu.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Jamil Johari berkata polis "tidak mengetahui tarikh kuat kuasa penahanan dua orang aktivis Keadilan itu kerana perintah itu dikeluarkan oleh KDN."

"Arahan perintah tahanan itu telah dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri," katanya, seperti dilaporkan agensi berita nasional Bernama hari ini.