Salleh cabar Dr M ulangi dakwaan 1MDB dalam PRK
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mencabar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi dakwaan 1MDB semasa kempen pilihan raya kecil.
"Mahathir berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mencuri sekurang-kurangnya RM42 bilion dan mungkin juga sebanyak RM50 bilion wang 1MDB.
"Saya cabar Mahathir mengulangi dakwaan ini semasa kempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana dia tidak pernah menarik balik dakwaan itu atau meminta maaf kerana membuat dakwaan itu," tulis menteri itu di blog beliau.
Beliau menyindir Mahathir sebagai 'pemimpin de facto pembangkang', yang mengelak untuk bercakap mengenai tandatangan palsu dalam Deklarasi Rakyat, yang mana polis kini sedang siasat.
Beliau berkata, ia kelihatan seperti Mahathir hanya mempunyai satu pilihan iaitu untuk 'kitar semula' dakwaan tahun lepas mengenai 1MDB walaupun peguam negara, jawatakuasa kira-kira wang negara dan The Wall Street Journal mengesahkan tiada bukti penyelewengan atau salah laku dalam 1MDB.
Menteri Umno itu juga mengulas mengenai Parti Amanah Negara (AMANAH) yang didakwa terperangkap dalam dilema berhubung usul rang undang-undang 'hudud' yang dibawa presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan akan mengelak bercakap mengenainya.
"AMANAH tidak mampu untuk mengisytiharkan bahawa mereka menentang pindaan syariah itu dan tidak pula mereka boleh mengisytiharkan mereka menyokongnya.
"Jadi AMANAH adalah terkepit dalam satu keadaan yang tidak membenarkan mereka sebarang kelonggaran," tulisnya.
Beliau berkata AMANAH perlu undi Cina dan berharap untuk mengambil sedikit undi daripada Melayu.
"Jadi AMANAH tidak boleh mengambil apa-apa pendirian mengenai pindaan syariah kerana mereka berkata beberapa hari yang lalu, mereka tidak menyokong atau menentang pindaan syariah tetapi hanya tidak ingin mengambil sebarang pendirian pada masa ini.
"Amanah juga mengancam untuk menyaman sesiapa sahaja yang mendakwa bahawa mereka menentang pindaan syariah," katanya.
Hujung minggu lalu Pengarah Strategi AMANAH Dzulkefly Ahmad berkata mereka lebih suka memberi tumpuan kepada cita-cita Islam yang lebih tinggi dan bukan pada menghukum semata-mata.

