‘Sahur pertama tanpa papa rasa sedikit kekok’
"Sahur pagi tadi, rasa sedikit kekok, ada satu tempat kosong di meja, itu cukup membuatkan kami rasa sebak dan teringatkan arwah papa."
Rahsia hati itu dikongsikan Wan Emir Astar Khair-il Anuar anak sulung kepada calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid ketika ditanya hari pertama perjalanan sahur keluarga mereka tanpa arwah bapanya.
Wan Emir juga turut berkongsikan perkara yang menjadi keutamaan bapanya sebaik sahaja menjelang bulan Ramadan.
Katanya, antara perkara yang mereka rindui adalah masakannya.
"Papa merupakan seorang yang pandai memasak, beliau memang pandai memasak antara kepakarannya adalah membuat pasta, selain itu 'steak' beliau juga memang sedap," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Operasi BN, di Kuala Kangsar hari ini.
Menurut Wan Emir, arwah bapanya juga akan memastikan mereka berbuka bersama walau sesibuk mana sekali pun.
"Pada hari pertama puasa sesibuk mana pun Allahyarham hatta di luar negara atau di mana-mana sahaja beliau akan bersama keluarga sebagai permulaan menyambut Ramadan," katanya.
Wan Emir juga melahirkan keyakinannya bahawa ibunya mampu meneruskan legasi dan perjuangan arwah ayahnya untuk membangunkan Kuala Kangsar.
PRK Kuala Kangsar akan menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Mastura ditentang Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, Naib Ketua AMANAH Kuala Kangsar Prof Dr AhmadTermizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Ia diadakan berikutan kematian Wan Mohammad yang terbunuh dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada PRK itu mengikut daftar pemilih yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 7 Mei lalu.
Pengundian PRK Kuala Kangsar ditetapkan pada 18 Jun ini.

