Tuduhan Hadi tak berasas, DAP bukan anti-Islam
ULASAN l Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam pada minum petang dengan pengundi Cina di Kuala Kangsar dilaporkan menuduh DAP campur tangan dalam hal berkaitan agama Islam.
Beliau juga dilaporkan berkata, PAS menyokong dasar yang baik oleh kerajaan dan hanya menentang apa yang dipercayainya sebagai buruk manakala DAP pula sebaliknya akan menentang segala-galanya.
Tuduhan Hadi jelas merujuk kepada perbezaan pendapat yang wujud sekian lama di antara DAP dengan PAS mengenai isu pelaksanaan hudud.
Dakwaan Hadi bahawa DAP campur tangan dalam hal-ehwal Islam adalah tidak tepat dan tidak berasas kerana bangkangan kami tidak boleh dilihat seperti itu.
DAP bukannya anti-Islam mahu pun mana-mana agama. Kami menerima dan menghormati bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan.
Walaupun kami menghormati Islam dan kedudukan hudud dalam Islam, pendirian konsisten kami adalah pelaksanaan undang-undang hudud bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai untuk masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Daripada menuduh DAP campur tangan dalam hal berkaitan agama Islam, Hadi sepatutnya sendiri memahami semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.
Hadi juga tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa terdapat bantahan daripada rakyat Malaysia yang beragama Islam mengenai pelaksanaan hudud.
Malah, Hadi perlu menjelaskan mengapa plotnya bersama Umno dalam pembentangan rang undang-undang persendirian untuk memperkasakan sistem Syariah diberi keutamaan di Dewan Rakyat bukan satu muslihat untuk membantu Umno mengalihkan perhatian pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar daripada skandal 1MDB.
Ia juga adalah salah bagi PAS menuduh DAP sebagai parti yang membangkang dan menentang segala-galanya.
Terpulang kepada PAS jika ia kini mahu bermain politik gaya baru, menjadi mesra BN, tidak menjadikan anti-rasuah sebagai agenda politik utama walaupun orang ramai masih bingung dengan perubahan arah hala tuju PAS.
Tetapi ia tidak harus cuba untuk mewajarkan perubahan itu dengan menyerang DAP dan mendakwa parti itu menentang setiap dasar kerajaan.
Bolehkah Hadi sebut satu contoh dasar baik, yang pada fikirannya bahawa DAP perlu menyokong tetapi telah tidak berbuat demikian?
Walaupun PAS tidak berminat untuk meneruskan isu 1MDB, DAP telah dan akan terus berusaha memastikan perdana menteri dan kerajaan BN bertanggung jawab terhadap skandal mega ini.
M Kulasegaran adalah naib pengerusi kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Barat.

