Hakim baru dengar permohonan Zunar cabar akta hasutan
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan mendengar permohonan kartunis Zunar dan dua yang lain untuk mencabar keperlembagaan Akta Hasutan 1948 pada 8 September di bawah seorang hakim baru.
Permohonan di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 itu akan didengar oleh Hakim Mahkamah Sesyen Zainal Salleh, selepas hakim sebelumnya Amernudin Ahmad dipindahkan.
Peguam kartunis itu, Latheefa Koya menjelaskan bahawa Amernuddin mulanya menetapkan sebutan semula permohonan pada 24 Julai, tetapi dipercepatkan pada hari ini.
"Tetapi apa yang berlaku ialah- dalam tempoh itu - kami mendapat surat meminta kami untuk balik hari ini, mengatakan bahawa hakim telah dipindahkan dan kami akan ditetapkan tarikh baru di hadapan Hakim ini," katanya kepada Malaysiakini.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, menghadapi sembilan tuduhan di bawah Akta Hasutan kerana tweet beliau mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan pada perbicaraan kes liwat II Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Februari tahun lepas.
Permohonannya didengar di hadapan Hakim Zainal bersama tuduhan hasutan berasingan terhadap peguam N Surendran, dan satu lagi tuduhan hasutan dihadapi oleh peguam Eric Paulsen.
Surendran dituduh membuat dakwaan menghasut bahawa terdapat konspirasi politik di sebalik dakwaan liwat terhadap Anwar dalam satu video Youtube.
Sementara itu, Paulsen didakwa membuat tweet berunsur hasutan dengan mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebarkan ekstremisme melalui khutbah Jumaat.
Surendran menghadapi satu lagi tuduhan hasutan di Mahkamah Sesyen berasingan Kuala Lumpur di hadapan hakim Ab Karim Ab Rahman.
Bagi kes di hadapan Hakim Ab Karim, Surendran dituduh mengeluarkan kenyataan akhbar kepada Malaysiakini bertajuk ‘Court of Appeal’s fitnah 2 written judgment is flawed, defensive and insupportable’ berhubung penghakiman Mahkamah Rayuan terhadap Anwar.
Ketiga-tiga mereka memfailkan permohonan yang sama di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk empat pertuduhan masing-masing, dengan alasan Akta Hasutan tidak berperlembagaan kerana ia tidak memerlukan elemen niat (mens rea) yang perlu dibuktikan.
Jika dibenarkan, perkara perlembagaan ini akan dirujuk ke mahkamah tinggi untuk membuat keputusan, sebelum mahkamah sesyen mendengar pertuduhan terhadap ketiga-tiga mereka.
Nasib permohonan mereka bergantung kepada keputusan mahkamah dalam kes ADUN Seri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei. Shuhaimi mencabar keperlembagaan Akta Hasutan atas alasan yang sama seperti Zunar, Surendran, dan Paulsen.
Mahkamah Rayuan telah mendengar hujah-hujah dalam kes Shuhaimi, tetapi berkata pada 1 Jun bahawa ia menyimpan penghakimannya buat masa sekarang.
Latheefa, yang juga mewakili Shuhaimi dan Surendran, berkata Shuhaimi bercadang menggunakan semua saluran rayuan. Ini bermakna kes itu boleh pergi ke Mahkamah Persekutuan jika Mahkamah Rayuan tidak berpihak terhadap Shuhaimi.

