Terjemahan Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin pembangkang di Sarawak telah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai keadaan ekonomi, pembangunan serta dakwaan amalan rasuah di negeri itu, sewaktu beliau mengadakan pertemuan dengan mereka di Kuching petang semalam.

Anwar yang menyifatkan peranannya sebagai 'warga prihatin', mengadakan pertemuan berasingan dengan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), parti Star serta kumpulan ahli politik Cina, sebaik sahaja tiba untuk lawatan dua hari ke negeri itu.

PKR Sarawak diketuai oleh pengerusinya yang baru dilantik Wan Zainal Abidin Wan Sanusi; Snap diketuai Presidennya Edwin Dundang dan parti Star oleh Presidennya, Dr Patau Rubis. Rombongan Snap itu turut disertai Timbalan Presidennya Jinggut dan Setiausaha Agugnnya Stanley Juggol.

Para pemimpin DAP bagaimanapun tidak terbabit dalam perjumpaan tersebut. Kumpulan badan-badan bukan kerajaan (NGO) adalah yang pertama mengadakan pertemuan dengan Anwar.

Malaysiakini difahamkan, antara ahli politik Cina yang menemui Anwar termasuk seorang doktor swasta dan seorang peguam yang dijangka bertanding, mungkin atas tiket PKR, dalam pilihanraya negeri yang akan datang.

"Mereka (pemimpin pembangkang) mengadu, misalnya, mengenai projek mega seperti pembinaan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru yang berharga RM400 juta ketika begitu ramai rakyat menganggur, hidup dalam kemiskinan dan wang tersebut boleh digunakan untuk melaksanakan projek kecil dan sederhana yang memberi lebih berfaedah kepada rakyat.

"Dengan wang RM400 juta itu, anda boleh melaksanakan 50 projek seperti membina sekolah, klinik desa, jalan luar bandar, dan memberi kerja kepada 50 kontraktor dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya kepada malaysiakini selepas pertemuan tersebut.

Bangunan DUN baru itu sedang dibina di Tebing Utara Sungai Sarawak, berdepan dengan Main Bazaar, Kuching, untuk menggantikan bangunan sekarang, yang mungkin dijadikan dewan pameran/persidangan, yang terletak kira-kira dua kilometer dari Petra Jaya.

Betulkan keutamaan

Sebelum ini, DAP Sarawak melancarkan kempen supaya projek itu dibatalkan kerana mendakwa pembinaannya membazirkan wang rakyat, yang menurut Ahli Parlimen DAP bagi Bandar Kuching, Chong Chieng Jen baru-baru ini, sepatutnya dibelanjakan untuk faedah rakyat.

Oleh itu, kata Anwar, kerajaan negeri mesti membetulkan keutamaannya.

Katanya, mengikut pemimpin pembangkang, kedudukan ekonomi dan pembangunan negeri Sarawak adalah "tidak menggalakkan".

"Kebanyakan mereka bimbang dengan keadaan rasuah dan masalah konsesi balak. Nampaknya beberapa pemimpin mengumpul begitu banyak harta...inilah keprihatinan ramai orang Melayu, Cina dan Dayak."

Anwar yang juga merupakan penasihat PKR pimpinan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata parti-parti pembangkang di Sarawak mempunyai agenda yang berbeza dan keutamaan tersendiri.

"Saya datang untuk mendengar (apa pemimpin pembangkang hendak beritahu) dan bersetuju bahawa mereka perlu bekerjasama," katanya, sambil menambah, pertemuan awal ini mungkin merintis kepada pakatan bersama untuk menghadapi pilihanraya negeri.

"Sebagai penasihat PKR, saya berbincang dan mendengar apabila perlu dan berhubungan dengan pemimpin pembangkang yang lain serta badan bukan kerajaan (NGO) seperti Aliran, ahli akademik dan lain-lain.

"Kita mungkin sependapat atau tidak sependapatan mengenai sesetengah isu, tetapi kami sependapat mengenai dasar dan isu-isu asas," katanya merujuk kepada pendirian berbeza di kalangan parti-parti pembangkang.

Mengenai kesediaan PAS untuk bekerjasama dengan kumpulan pembangkang, Anwar berkata, ketika beliau sedang pulih daripada pembedahan di Munich, rombongan pemimpin PAS melawatnya dan memberitahunya yang beliau perlu terbabit aktif dan bersama-sama bekerja untuk menjayakan agenda reformasi.

Ditanya mengenai agenda pembaharuan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Anwar secara seloroh berkata: "Saya baru keluar dari penjara...dan anda pula bertanya perkara itu...saya boleh masuk balik sekali lagi!".

Kotai janji

Menurut Anwar, Perdana Menteri memperkenalkan dasar bersih untuk membanteras rasuah, menghormati peruntukan dalam perlembagaan mengenai pemisahan kuasa, dan pemerintahan yang baik, dan kerana dasar itulah "saya dibebaskan selepas enam tahun di penjara."

"Tetapi selepas satu setengah tahun menjadi Perdana Menteri, anda masih lihat mereka yang rasuah masih ada dan terus memperkayakan diri mereka."

Katanya, bidang kehakiman tidak menunjukkan sebarang perubahan manakala mereka yang kredibilitinya dipersoalkan, dinaikkan pangkat atau dicadangkan untuk kenaikan pangkat.

"Abdullah tidak memperlihatkan keseriusannya. Hanya bercakap mengenainya, itu sahaja," tambahnya.

Mengenai anggapan sesetengah pihak bahawa kesabaran Abdullah dalam mengendalikan isu rasuah dan salahguna kuasa itu, dilihat bukan satu kelemahan, Anwar berkata, kesabaran adalah satu sifat yang baik "tetapi luas bezanya di antara sabar dan toleransi terhadap rasuah".

"Toleransi terhadap rasuah pastinya bukan satu kesabaran," katanya merujuk kepada kritikan supaya Perdana Menteri menterjemahkan kata-katanya melalui tindakan membanteras rasuah dan isu-isu yang lain.

Kebelakangan ini, Anwar banyak berada di luar negara untuk memberi ceramah dan syarahan di universiti, termasuk di United Kingdom, yang dianggapnya sebagai "satu tugas yang perlu beliau lakukan kerana beliau tidak mendapat sebarang pencen kerana sabitan hukuman ke atasnya".

Anwar juga menyuarakan kecewaannya terhadap tindakan kerajaan menghalang pelajar Malaysia, terutama pemegang biasiswa di United Kingdom, daripada menghadiri syarahannya ketika dia ditugaskan sekejap di Universiti Oxford.

Katanya, itu menunjukkan kerajaan tidak bertolak ansur, tidak sabar dan tidak adil terhadap pelajar terbabit.

Ditanya sama ada lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke United Kingdom baru-baru bertujuan untuk 'menjawab' segala kenyataannya di sana, Anwar berkata beliau tidak kisah mengenainya.

"Jika ada sesetengah pemimpin yang rasuah dan saya ada bukti mengenainya, apa yang hendak dinafikan?

Media dikawal sepenuhnya

"Jika saya katakan media di Malaysia dikawal sepenuhnya oleh mereka TV, akhbar dan lain-lain dan tiada ruang untuk sesiapa juga yang dianggap tidak menyokong kerajaan, mendapat tempat dalam media tersebut, bolehkah mereka menafikannya?

"Jika saya katakan ISA telah disalahgunakan, dan ramai orang yang bukan militan atau komunis telah ditahan tanpa bicara, bolehkah mereka menafikannya?

"Jika saya mengatakan wang dibazirkan terhadap projek-projek mega sedang rakyat miskin tidak dilindungi, bolehkah mereka menafikannya?

"Jika saya mengatakan Bakun belum menyelesaikan isu pemindahan penduduk yang terbabit, bolehkah mereka menafikannya?" soalnya.

Sementara itu, ketika berucap di majlis kesyukuran di Kampung Kampung Laruh di Matang malam tadi, ucapannya tertumpu kepada soal rasuah, ahli politik yang rasuah, salahguna kuasa oleh mereka yang mempunyai kuasa.

Orang ramai yang hadir di rumah bekas penerusi PKR Sarawak, Hafsah Harun termasuklah pemimpin dari dua parti pembangkang Snap and Star.

Ini adalah kali pertama pemimpin Snap, Star dan PAS dilihat sama-sama hadir di majlis Keadilan, dan ini dilihat sebagai permulaan baik ke arah mewujudkan pakatan politik di antara parti pembangkang di Sarawak untuk menghadapi pilihanraya negeri akan datang.