Didorong emosi dan kemarahan terhadap PAS, kedua-dua parti DAP dan AMANAH membelakangi pelan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali untuk menawan kerusi parlimen Sungai Besar, kata seorang ahli parlimen Umno.

Tan Sri Shahrir Abdul Samad, yang mengetuai Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) mendakwa Azmin dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah betul dari segi strategi satu lawan satu dalam pilihan raya kecil itu yang dikatakan akan memberi hasil lebih baik untuk pembangkang.

Bagaimanapun, ahli parlimen Johor Bahru itu berkata, bahkan PKR dan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengabaikan pandangan timbalan presiden parti mereka.

“Azmin tentu melihat PKR boleh menyaingi calon BN. Dengan jentera kerajaan negeri dan disokong sekutu dari DAP, PAN (AMANAH) serta PAS, beliau percaya PKR boleh bertembung satu lawan satu dengan BN,” beliau dipetik sebagai berkata oleh portal BNBBC.

Shahrir mendakwa ini membawa kepada dakwaan mengenai menteri besar itu memberi kata dua kepada PAS untuk tidak bertanding di Sungai Besar.

Azmin sejak itu menafikan mengarahkan tiga exco PAS dalam kerajaan negerinya untuk berhenti sekiranya parti mereka bertanding.

Sementara itu, Shahrir berkata adalah malang bagi Azmin apabila AMANAH yang digambarkannya sebagai "proksi DAP", mendapat sokongan Wan Azizah untuk meletakkan calon mereka.

“Aneh dan pelik juga apabila Wan Azizah sebagai ketua pembangkang dan presiden parti langsung tiada pemikiran strategik berbanding Azmin dalam menentukan parti mana patut bertanding,” tegas Ahli Parlimen Johor Bahru itu.

“Saya rasa Azmin pasti kecewa dengan situasi ini selain tekanan daripada DAP, PAS serta kumpulan penyokong Wan Azizah dari dalam PKR sendiri,” ujar Shahrir.

Shahrir juga berkata ia mungkin menjadi lebih baik jika Azmin menyatukan kumpulannya dengan Mahathir, memandangkan sokongan kuat untuk Deklarasi Rakyat.

Kerusi Sungai Besar akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Budiman Mohd Zohdi yang akan menentang 'Dr Abdul Rani Osman daripada PAS dan Azhar Abdul Shukur daripada AMANAH.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sarawak. Pada pilihan raya umum lepas, Noriah mengalahkan lawannya daripada PAS dengan hanya 399 undi.