'Penyokong Najib perlekeh Deklarasi Rakyat agar polis rampas dokumen'
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa penyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba memperlekehkan Deklarasi Rakyat dengan tuduhan kononnya ada banyak penipuan.
Katanya, keraguan itu ditimbulkan supaya polis merampas dokumen tanda tangan rakyat yang cuba merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu agar menyelamatkan negara.
“Ia mendesak polis supaya merampas deklarasi yang berada dengan sekretariat.
"Harapannya ialah supaya polis dapat kenalpasti mereka yang telah tandatangan deklarasi tersebut dan akan dapat mengugut mereka," kata bekas perdana menteri itu dalam entri terbaru di blog.
Mahathir mendakwa terdapat ancaman terhadap mereka yang menandatangani deklarasi itu, termasuk bakal kehilangan bantuan BR1M, biasiswa untuk anak-anak, peluang perniagaan dan kemudahan lain.
"Sebenarnya memang ramai yang tidak sanggup tandatangan deklarasi kerana rejim Najib akan ugut dan ganggu mereka.
"Jika tidak ada gangguan dan ugutan ini lebih ramai rakyat yang akan tandatangani Deklarasi Rakyat. Sebenarnya berjuta rakyat bersetuju supaya Najib berhenti dari menjadi perdana menteri.
“Tetapi mereka takut tindakan rejim Najib," katanya.
Bulan lalu, Deklarasi Rakyat yang menggesa penyingkiran Najib sebagai perdana menteri mengumumkan telah berjaya mendapatkan 1.2 juta tandatangan.
Bagaimanapun NGO seperti Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang sebelum ini kecewa kerana pembangkang bekerjasama dengan Mahathir membuat laporan polis mendakwa petisyen itu mengandungi penipuan.
Mahathir menyelar mereka sebagai pengkhianat.
"Sebenarnya mereka adalah penyokong tersembunyi Najib yang ingin selamatkan Najib. Tetapi mereka takut tindakan rejim Najib.
“Penyokong Najib ini ialah pengkhianat bangsa dan demokrasi yang tidak senang kerana rakyat bersuara. Kononnya ia dari parti pembangkang yang bermusuh dengan kerajaan Najib. Tetapi sebenarnya ia adalah penyokong tersembunyi Najib yang ingin selamatkan Najib," katanya.
Mahathir berkata sekretariat Selamatkan Malaysia akan tetap meneruskan petisyen mengumpul tandatangan rakyat itu.
"Usaha untuk mendapat Deklarasi Rakyat akan diteruskan. Saya percaya ramai rakyat Malaysia berani bersuara.
"Pengkhianat bangsa dan demokrasi tidak akan berjaya walaupun mendapat perlindungan Najib,"katanya.
Mahathir menuduh Najib melakukan rasuah berhubung deposit RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya serta mengaitkannya dengan skandal 1MDB.
Najib menafikan perkara itu dan menegaskan beliau tidak pernah mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi. Najib juga mendakwa wang dalam akaun bank peribadi beliau itu adalah derma daripada jutawan Arab.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menerima penjelasan itu dan membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

