Polis kesan mangsa pedofil British untuk khidmat psikologi
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan mangsa pesalah pedofil warga Britain Richard Huckle untuk diberi khidmat sokongan psikologi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata PDRM akan bekerjasama dengan Agensi Anti Jenayah Kebangsaan (NCA) United Kingdom dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam memberi khidmat itu.
"PDRM akan memberikan bantuan dari segi khidmat sokongan psikologi serta bantuan yang diperlukan oleh keluarga mereka (mangsa).
"PDRM memohon agar semua pihak memberi kepercayaan kepada pihak polis untuk melaksanakan tindakan yang terbaik, demi kepentingan kanak-kanak yang terlibat," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan terhadap Huckle adalah setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukannya.
"Menurut hakim yang menjatuhkan hukuman, Richard Huckle telah memusnahkan masa depan kanak-kanak yang dimangsakannya, dan penghakiman sedemikian jarang dibuat dalam jenayah sebegitu serius yang melibatkan seorang pesalah," kata Mohmad.
Pedofil warga Britain itu dihukum penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London hari ini kerana melakukan pencabulan seksual ke atas 23 kanak-kanak di Malaysia serta bayi dan kanak-kanak di Kemboja dalam tempoh hampir satu dekad.
Reuters melaporkan bahawa Huckle, 30, dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup dan akan meringkuk dalam penjara sekurang-kurangnya 23 tahun atas jenayah yang dilakukannya terhadap mangsa yang berasal dari keluarga miskin berusia enam bulan hingga 11 tahun.
Huckle mengaku bersalah terhadap 71 kesalahan dan polis menemukan lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014.
Baru-baru ini, media Britain melaporkan bahawa Huckle, seorang jurufoto bebas, mungkin telah mendera hingga 200 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014.
Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kebanyakan mangsanya adalah daripada golongan miskin di Kuala Lumpur.
-Bernama

