Paraglider serah diri di IPD Kuala Kangsar
Dua paraglider yang berlegar-legar di ruang udara ketika proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK)Parlimen Kuala Kangsar menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar semalam.
Jurucakap polis bagi PRK Kuala Kangsar ACP Shaharon Anuar Abdul Latiff berkata kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu hadir di IPD berkenaan pada 10.30 malam.
"Mereka menyerah diri bersama kelengkapan paraglider dan mengakui adalah juruterbang paraglider tersebut yang berlegar-legar di ruang udara di Dewan Jubli Perak ketika proses penamaan calon berlangsung," katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau berkata polis merampas peralatan yang dibawa kedua-dua lelaki berkenaan.
Shaharon Anuar berkata keterangan telah diambil dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
Siasatan mengenai kejadian itu masih diteruskan di bawah Peraturan 143 Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Semalam, polis menerima laporan mengenai dua orang paraglider tersebut dan hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kelulusan penerbangan paraglider dikeluarkan oleh pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
- Bernama

