MCA nasihat Khairy belajar cara Najib tangani tuntutan MCA
Terjemahan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin perlu belajar daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimana menangani tuntutan MCA supaya ditambah bilangan sekolah Cina, kata parti itu dalam lamanweb rasminya.
Terjemahan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin perlu belajar daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimana menangani tuntutan MCA supaya ditambah bilangan sekolah Cina, kata parti itu dalam lamanweb rasminya.
Sambil menyifatkan kenyataan Khairy sebagai "reaksi keterlaluan", MCA menggesa beliau supaya mengikut jejak Najib dalam menangani isu tersebut secara tertutup, dengan mengambil kira perasaan dan maruah masyarakat Cina berhubung dasar pendidikan kebangsaan.
Lamanweb itu turut mengkritik Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd
Ali Rustam yang turut membantah cadangan MCA supaya dibina lebih banyak sekolah Cina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.
"Mohd Ali dan 'pendatang baru politik' Khairy terlampau sensitif, dan tidak memberi perhatian kepada Perlembagaan Persekutuan dan hak kaum-kaum etnik kepada pendidikan bahasa ibunda mereka," kata MCA, parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional.
Kenyataan MCA dalam bentuk ulasan itu ditulis oleh bahagian publisiti pusatnya dan disiarkan dalam lamanwebnya versi bahasa Cina semalam.
Bagaimanapun, perkara itu tidak disentuh dalam satu lagi ulasan yang sama, yang ditulis dalam bahasa Malaysia.
Minggu lalu, MCA mengumumkan akan menghantar memorandum kepada kerajaan meminta supaya bilangan sekolah Cina ditambah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.
Terdapat dua aliran dalam sistem pendidikan Malaysia, iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan (SJK). Majoriti pelajar Melayu belajar di sekolah kebangsaan manakala SJK pula terdiri daripada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
Mempopular sekolah kebangsaan
Parti itu menegaskan bahawa cadangannya supaya ditambah bilangan sekolah Cina bertujuan untuk menghasilkan lebih ramai pelajar berbakat dan meningkatkan dayasaing negara.
"Isu itu tidak sepatutnya dipolitikkan. Mohd Ali dan Khairy patut belajar daripada Timbalan Perdana Menteri dan berhenti memainkan isu itu bagi mengelak sebarang ketidakselesaan," kata ulasan tersebut.
Ketika mengkritik MCA berhubung isu tersebut, Khairy, yang juga menantu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan mahu sekolah kebangsaan menjadi pilihan utama pelajar, bukannya sekolah jenis kebangsaan.
Abdullah juga dilaporkan sebagai berkata, beliau akan meneruskan usaha memperkasakan sekolah kebangsaan supaya menjadi pilihan utama semua rakyat Malaysia, sambil menambah, beliau akan memberi jawapan seperlunya apabila menerima memorandum MCA itu.
Sekolah pengantar bahasa Mandarin terus menjadi isu berduri di negara ini. Pengenalan sekolah wawasan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa tahun lalu, telah dibantah keras oleh golongan pendidik sekolah jenis kebangsaan kerana bimbang ia akan menghapuskan sekolah Cina dan Tamil.
Sekolah wawasan merupakan satu konsep persekolahan di mana pelajar Melayu, Cina dan India diletakkan di bawah satu bumbung bagi menggalakkan integrasi nasional.
Bagaimanapun, sejak Abdullah mengambil alih pemerintahan, beliau telah memberi lebih tekanan kepada sekolah kebangsaan, dan terutama di kalangan bukan Melayu.

