Azalina dan Umno tak wakili BN, kata Wanita MCA
Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman tidak mewakili BN berhubung usul rang undang-undang 'hudud' di Parlimen.
Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar memberikan sokongan kepada BN bagi menunjukkan bantahan terhadap rang undang-undang tersebut.
"Azalina telah mengemukakan usul itu, tetapi Umno tidak mewakili BN. Umno hanyalah sebahagian daripada BN.
"Oleh itu, kita harus menyokong calon BN dan orang Cina perlu beritahu pihak di kedua-dua parti bahawa mereka tidak bersetuju dengan hudud," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membuat lawatan ke sebuah pasar di Kuala Kangsar pagi ini.
Kerajaan melalui Azalina telah meminta supaya Parlimen mengutamakan usul rang undang-undang persendirian anggota parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Pindaan terhadap undang-undang persekutuan itu akan membolehkan hudud dikuatkuasakan di Kelantan.
"Saya percaya bahawa orang Cina tidak boleh menerima rang undang-undang persendirian Hadi.
"Mereka akan mengundi untuk menyatakan pandangan mereka yang turut akan mewakili suara 6.8 juta kaum Cina di seluruh negara," kata Heng.

