Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak mempunyai isu yang mahu dibangkitkan pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar 18 Jun ini sehingga terpaksa memutar-belitkan kenyataan.

Shamsul mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin bahawa Allah mahu rakyat Kuala Kangsar ‘mengajar’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Itu lagi dakwaan dia yang tidak tepat, memang apa yang berlaku ketentuan Allah swt tetapi dakwaan nak bagi pengajaran kepada presiden (Umno) tidak tepat.

“Dakwaan itu sengaja diada-adakan kerana hakikat sekarang ini AMANAH tidak ada isu yang nak dibawa, kalau dia hendak hentam peribadi calon dia tidak ada isu sebab itu dia pusing isu yang tidak ada kena mengena dengan pilihan raya ini,” kata Shamsul kepada Malaysiakini.

Justeru, Shamsul yang juga ahli parlimen Lenggong berkata pengundi di Kuala Kangsar perlu memilih calon dan parti yang mempunyai kredibiliti serta kekuatan dalam membawa pembangunan di kawasan parlimen itu.

Menurutnya, AMANAH langsung tidak mempunyai kekuatan itu.

“AMANAH langsung tidak ada kekuatan, tidak ada kerajaan negeri dan tempat malah kalau bagi (parlimen) kepada calon AMANAH sekali pun ia tidak akan membawa sebarang perubahan serta tidak boleh mengubah apa pun dalam kerajaan,” katanya.

Pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini diadakan berikutan nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, bulan lalu yang mengakibatkan penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad bersama lima yang lain terbunuh.

Mengulas lanjut, Shamsul yang juga adalah pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata beliau yakin calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid mampu mengekalkan kerusi parlimen allahyarham suaminya itu.

“Saya lihat bahawa calon (PRK Kuala Kangsar) AMANAH walaupun anak tempatan dan PAS apatah lagi Bebas walaupun mereka turun padang mereka bukan calon yang dikenali di sini.

“Mereka tidak ada track record mentadbir, jadi saya yakin Mastura (menang) tetapi keyakinan ini harus disertakan dengan kerja kuat,” katanya.

Pada pilihanraya parlimen 8 Jun ini, Mastura akan berdepan dengan calon AMANAH, Dr Ahmad Termizi, calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pilihan raya kecil juga akan diadakan serentak pada 18 Jun ini di Sungai Besar kerana nahas yang sama meragut nyawa Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Noriah Kasnon yang adalah ahli parlimen kerusi tersebut.