Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang tidak bersetuju dengan kenyataan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mengenai 'ketentuan Ilahi'.
Nizar sebelum ini dilaporkan berkata pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar adalah untuk 'mengajar' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid atas peranan mereka dalam krisis Perak pada 2009.
"Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Nizar dan saya tidak bersetuju dengan Zahid Hamidi yang meminta Nizar untuk bertaubat," kata Lim ketika ditemui di Kuala Kangsar.
Lim yang juga adalah ahli parlimen Gelang Patah, sebaliknya berkata, Zahid sepatutnya yang perlu bertaubat kerana membiarkan Najib memalukan Malaysia dengan skandal kewangan global 1MDB.
Bagaimanapun, Lim enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada kenyataan Nizar itu tidak sensitif dan bekas menteri besar itu perlu menarik balik kenyataannya.
