Saari tuduh mahkamah dikuasai ahli politik tidak Islamik: KDN
Ahli jawatankuasa pusat Parti Keadilan Nasional, Saari Sungib dituduh mendakwa mahkamah negara ini dikuasai oleh pemimpin negara yang tidak mengikut ajaran Islam.
Kementerian Dalam Negeri mendakwa Saari menyampaikan ucapan itu dalam satu perhimpunan yang dihadiri kira-kira 350 penyokong reformasi berhampiran Hong Kong & Shanghai Bank, Jalan Lebuh Ampang pada 8 Ogos tahun lalu, hari Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun bagi kes liwat.
"Kita tidak akan redha seorang tokoh politik yang dikenali (Anwar) dihukum oleh mahkamah yang dikuasai oleh pemimpin negara yang membuang al-Quran dan sunnah," kata Saari, seperti dipetik daripada perintah tahanannya.
"Hasutan (Saari) itu boleh merangsang orang ramai untuk menentang sistem pemerintahan negara yang sah yang boleh mengancam ketenteraman awam dan memudaratkan keselamatan negara."
Saari bersama Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais ditahan selama dua tahun di kem Kamunting sejak 2 Jun lalu.
Hari ini, dua lagi aktivis parti itu yang ditahan di bawah akta yang sama, Dr Badrul Amin Bahron dan Lokman Noor Adam dibawa ke kem itu untuk tempoh tahanan yang sama.
'Eksploitasi isu-isu agama'
Badrul antara lain didakwa "aktif berceramah di seluruh negara dengan mengeksploitasi isu-isu agama dan membuat dakwaan-dakwaan yang tidak berasas terhadap kerajaan."
Lokman pula dituduh "terlibat secara langsung merancang untuk mengancam nyawa pemimpin-pemimpin tertentu negara dengan bantuan gerila pemisah dari negara jiran dan menggunakan bahan letupan (untuk tujuan itu)."
Dalam lima alasan penahanannya, Saari juga didakwa mempengerusikan pertemuan-pertemuan sulit bagi merancang perhimpunan-perhimpunan dengan aktivis reformasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak Oktober tahun lalu hingga ditangkap 10 April.
Perintah tahanan, bersama alasan-alasan ini, ditandatangani Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Baadwi pada hari mereka dibawa ke kem itu.
Menurut isteri Saari, Aliza Jaafar, suaminya dan tiga lagi aktivis itu dibawa tergesa-gesa ke Kamunting agar sampai sebelum jam 12 tengah malam. Pihak berkuasa kem itu tidak menerima tahanan yang dihantar lewat daripada itu, katanya.
Pihak berkuasa kem itu juga tidak dimaklumkan terlebih dahulu bahawa suaminya akan dihantar ke sana, kata Aliza lagi, dalam satu mesej kepada malaysiakini .

