Rafizi: PM perlu batalkan projek RM687 juta Felcra
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membatalkan projek Menara Felcra yang bernilai RM687 juta.
"Saya gesa perdana menteri batalkan cadangan itu dan hentikan kecenderungan agensi persekutuan untuk melibatkan diri bidang pembangunan hartanah.
"Saya menentang cadangan Felcra mengambil alih sebagai pemaju dan menyuntik berjuta-juta wang rakyat dalam projek yang dicadangkan itu," katanya kepada Malaysiakini.
Mengikut perancangan asal, Felcra Bhd tidak sepatutnya membayar sesen pun untuk projek pembangunan campuran yang termasuk sebuah menara 35 tingkat pejabat, sebuah menara kediaman 43 tingkat, dan pusat membeli-belah kerana semua kos pembinaan akan ditanggung oleh pemaju Kumpulan WZR.
WZR akan mendapat semula pelaburannya dengan menyewakan seluruh ruang pejabat dan daripada jualan unit-unit kediaman yang dibina di atas tanah milik Felcra di Jalan Sultan Yahya Petra (Jalan Semarak) di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, sumber memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa WZR tidak mempunyai wang untuk membiayai pembinaan itu dan menyerahkan beban pembiayaan kepada Felcra.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata kerajaan tidak mempunyai wang untuk dibazirkan terhadap satu lagi projek hartanah dan tidak ada keperluan untuk membina sebuah pusat membeli-belah baru.
Beliau juga berkata Felcra tidak mempunyai kepakaran untuk menjalankan projek itu.
"Hakikat bahawa pemaju yang mencadangkan idea berkenaan, tidak berjaya untuk mendapatkan modal yang diperlukan untuk membiayai pembangunan campuran itu adalah tanda bahawa projek itu tidak menyakinkan," katanya.
Rafizi juga menolak tanggapan bahawa agensi-agensi kerajaan seperti Felcra perlu menjana pendapatan sendiri dengan melibatkan diri dalam projek-projek di luar tujuan penubuhan mereka.
"Hujah ini jelas cacat kerana kerajaan persekutuan bertanggungjawab memperuntukkan dana yang mencukupi untuk agensi-agensi ini berfungsi.
"Jika peruntukan tidak mencukupi, ini bermakna kerajaan persekutuan tidak mempunyai wang yang cukup untuk agensi-agensi itu untuk melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak sepatutnya," katanya.

