Badan Peguam: 'Kurang jujur' dakwa RUU Hadi bukan mengenai hudud
Rang undang-undang persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta 355 adalah mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dan cubaan untuk mengatakan sebaliknya adalah menipu, kata Badan Peguam Malaysia.
Presidennya, Steven Thiru berkata rang undang-undang yang bertujuan untuk membuat dua pindaan kepada Akta 355 akan memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman lebih berat, kecuali hukuman mati.
Ini bermakna mahkamah akan mempunyai "kuasa yang tidak terhad untuk mengenakan semua hukuman hudud lain," katanya dalam satu kenyataan.
"Oleh itu, adalah agak kurang jujur bagi sesetengah pihak untuk mencadangkan bahawa rang undang-undang itu tidak menyentuh kesalahan hudud dalam apa cara," katanya.
Menurut Enakmen Syariah Kelantan, kesalahan hudud adalah zina (seks di luar perkahwinan), qazaf (tuduhan palsu zina), syrub (pengambilan alkohol) dan irtidad (murtad).
Kesalahan itu membawa hukluman sebat antara 40 hingga 100 kali.
PAS berkeras bahawa rang undang-undang Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah semata-mata untuk "memperkasakan" mahkamah syariah, manakala pemimpin Umno berkata ia tiada berkaitan dengan hudud.
Kerajaan pada 26 Mei lalu membentangkan usul bagi mempercepatkan rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta 355 - Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
Bagaimanapun, Hadi memohon supaya rang undang-undang yang dikemukakannya dibentangkan pada sesi akan datang pada bulan Oktober kerana ia hari terakhir sesi kedua Dewan Rakyat.

