Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menafikan dakwaan terdapat ahli-ahli Wanita yang merajuk berikutan pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon BN pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar sehingga menjejaskan gerak kerja parti.

Sebaliknya, bekas menteri wanita, keluarga dan masyarakat itu menyifatkan dakwaan tersebut sebagai 'memalukan'.

"Itu semua tak betul, kanan kiri saya ketua Wanita dan naib ketua Wanita bahagian ramai yang turun dari Kuala Kangsar malah Wanita di sini menjadi tulang belakang kepada jentera parti keseluruhannya,” kata Shahrizat kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar.

Sebelum ini timbul dakwaan wujud unsur sabotaj daripada pemimpin akar umbi yang tidak dicalonkan, namun dinafikan sendiri anak sulung Mastura.

Wanita Umno Kuala Kangsar sebelum ini menamakan dua calon mereka untuk bertanding pilihan raya itu. 

Namun pimpinan tertinggi parti itu memilih Mastura bagi menggantikan tempat suaminya, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terlibat dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei lalu.

Dalam pilihan raya kecil itu, Mastura akan berdepan lawannya daripada PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad, calon AMANAH yang diwakili Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Ketika diminta mengulas kenyataan bekas Naib Ketua Wanita Umno Datuk Karmila Ibrahim bahawa pencalonan Mastura akan menguji kesetiaan ahli Umno, Shahrizat berkata keputusan PRK itu akan menjawab segala persoalan.

“Tak apalah kita tengok keputusan pilihan raya kecil nanti, insya-Allah dan saya percaya keputusan nanti akan berpihak kepada BN sekali gus menutup segala andaian yang dibuat,” kata Shahrizat.

Sementara itu, mengulas dakwaan bahawa Umno Kuala Kangsar terbahagi kepada dua kem – iaitu kem bekas ahli Parlimen, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il dan kem bekas
Ketua Umno Bahagian Datuk Ramly Zahari, Shahrizat berkata:

“Dalam pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya umum (PRU) akan ada yang tidak berpuas hati jadi bila tak puas hati ada sebablah kenapa tak puas hati tapi itu tak jadi masalah.

“Ini bukan isu kem mana-mana cuma kepimpinan Umno memilih calon yang terbaik,” tegas Shahrizat.

Sementara itu, Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar Aisyah Halid yang ditemui pemberita menafikan dakwaan pihaknya merajuk dengan pemilihan Mastura dan menyifatkannya sebagai fitnah.

"Setakat ini jentera Wanita jalinan rakyat tidak ada merajuk pun dan semua itu fitnah.

"Saya sebagai ketua wanita bahagian, saya menjalankan amanah ini dan saya boleh jelaskan yang sebenar-benarnya jentera Wanita seramai 700 orang di Kuala Kangsar berjalan dengan baik dan lancar.

“Saya juga telah turun kesemua PDM (Pusat Daerah mengundi) dan setakat ini kerjasama mereka sangat baik dan memuaskan,” ujar Aisyah.

Terdahulu, Shahrizat bersama-sama jentera Wanita Umno Kuala Kangsar menyertai majlis solah dhuha dan tadarus perdana dengan disusuli majlis khatam al-quran di Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar.

Mereka turut meraikan 100 anak yatim sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Manong dan Chandan.

SPR menetapkan 18 Jun depan sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun bagi PRK berkenaan.