Sistem undang-undang perlu juara baru, kata Zaid kepada TMJ
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim merayu campur tangan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kes Muhammad Amirul Azwan Mohd Shakri yang dihukum penjara setahun kerana menghina baginda.
"Bagi saya, Tunku Mahkota Johor seorang yang berfikiran terbuka dan pemimpin yang sedia mengampuni," katanya di laman Twitter.
Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Muhammad Amirul, 19, selepas remaja itu mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan membuat komen bersifat jelek terhadap baginda menerusi laman sosial Facebook.
Dia didakwa dan dihukum mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Muhammad Amirul, seorang buruh, ditangkap pada 28 April lalu dan hukuman dijatuhkan semalam.
Mengulas lanjut, Zaid yang lantang mengkritik sistem perundangan negara, berkata negara memerlukan kerja-kerja pemulihan segera.
"Sistem perundangan negara kita hari ini kotor dengan terlalu banyak naungan dan politik.
"Raja-raja Melayu boleh membetulkan keadaan. Kita memerlukan juara baru," katanya.
Terdahulu, sebuah kumpulan pelajar yang menamakan diri mereka sebagai Challenger juga memohon putera Sultan Johor itu untuk campur tangan dengan presidennya merayu kepada Tunku Ismail untuk menunjukkan kemurahan hati.
Sejak dua minggu kebelakangan ini, beberapa individu telah didakwa di mahkamah kerana menyiarkan kenyataan biadap terhadap Tunku Ismail walaupun baginda meminta pihak polis agar tidak menahan para pengkritiknya.
"Saya dengan rendah diri mencadangkan kepada PDRM agar tidak menangkap mana-mana individu yang telah membuat sebarang kenyataan yang menghina terhadap saya.
"Berikan mereka peluang untuk menyuarakan apa yang mereka mahu katakan kepada saya secara berhadapan, dan bersemuka antara mereka dan saya sahaja.
"Terus terang saya cakap yang saya tidak peduli apa sahaja orang mengatakan kerana saya amat bersyukur dengan apa yang Allah Taala berikan kepada saya", kata baginda di laman Facebook Johor Southern Tigers, pada 29 Mei lalu.
Turut mengulas isu yang sama adalah bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (atas, kiri).
“Seorang buruh yg mempunyai adik beradik utk dijaga dihukum penjara setahun kerana hina keluarga diraja Johor.
“Lain kali ingat raja berdaulat,” katanya di Twitter.

