Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pihak lawan memerlukan banyak latihan jika mahu mengalahkannya.

Tetapi, mesej tersebut bukan ditujukan kepada mana-mana lawan politik beliau termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad atau parti politik.

Najib mencatatkan demikian dalam laman akaun Facebook miliknya, yang diturut disertakan gambar beliau bermain catur dengan anak-anak saudaranya selepas berbuka puasa di kediaman ibunya, Tun Rahah Mohd Noah.

"Anak-anak saudara saya ajak lawan catur lepas tarawih.

"Boleh tahan hebat juga walaupun umur mereka baru 6 hingga 7 tahun.

"Tapi perlu banyak latihan lagilah kalau nak tewaskan saya," menurut kapsyen tersebut.

Catatan tersebut mendapat hampir 16,000 ‘suka’ dan lebih 1,200 komen.

Dalam bidang politik tempatan, Najib pula terbabit dengan percaturan politik berpanjangan,  dengan Mahathir dilihat menggunakan setiap langkah untuk menyekat 'checkmate' atau menyerang Najib sejak tahun lalu.

Perdana Menteri, bagaimanapun, menafikan segala dakwaan yang dilemparkan terhadapnya, dan menyalahkan Mahathir dan mereka yang bersubahat dengannya untuk menjatuhkannya.

[Baca berita asal]