Pakai tali pinggang ketika gelora udara, kata pakar
Kurangkan pergerakan di luar tempat duduk selain memastikan tali pinggang keselamatan sentiasa dipakai walaupun isyarat pemakaian tali pinggang dipadamkan bagi mengelakkan tercedera akibat gelora udara teruk sewaktu dalam penerbangan.
Itu antara langkah keselamatan terbaik ketika menghadapi gelora udara yang teruk, menurut bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff.
"Gelora udara tidaklah berbahaya kerana rangka pesawat telah direka untuk daya tahan yang amat tinggi. Yang berbahaya ialah apabila objek-objek berterbangan atau apabila para penumpang tidak memakai tali pinggang keselamatan semasa berada di tempat duduk.
"Sebelum ini, sebanyak tiga orang terbunuh akibat hentaman bahagian kepala ke siling kabin pesawat akibat gelora udara. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika kita memandang rendah akan kejadian gelora udara teruk ini.
"Kepada ibu bapa yang mempunyai bayi, jangan amalkan meriba anak. Dalam satu kejadian gelora udara, seorang bayi telah terlepas daripada pegangan ibunya dan terhumban ke kerusi di barisan lain," katanya kepada Bernama.
Beliau diminta mengulas kejadian beberapa penumpang dan anak kapal cedera ringan apabila pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH01 dalam penerbangan dari London ke Kuala Lumpur mengalami keadaan gelora udara yang teruk ketika berada di ruang udara Teluk Bengal pada Ahad.
Pesawat jenis Airbus A380 itu, bagaimanapun, selamat mendarat bersama 378 penumpang dan anak kapal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sehari selepas itu, kejadian yang sama menimpa pesawat Avianca #AV965 jenis Airbus A330 ketika melintasi kawasan pergunungan The Andes hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 20 penumpang dan lapan kru cedera ringan sewaktu sedang menyediakan makanan.
Bulan lepas, lebih 30 orang cedera apabila penerbangan Etihad Airways ditimpa gelora udara teruk dan tidak dijangka sewaktu menghampiri ruang udara Jakarta, Indonesia.
Mengulas lanjut mengenai gelora udara, Abdul Rahmat berkata terdapat dua jenis, yang pertama ialah gelora udara yang diakibatkan oleh pembentukan awan hujan dan perolakan angin di kawasan pergunungan.
"Ia terbentuk akibat faktor cuaca, musim dan bentuk muka bumi. Ia boleh dikesan oleh radar melalui pengesanan pembentukan awan. Awan hujan dan awan Cirrus yang nipis akibat laluan angin di permukaan gunung boleh dikesan oleh radar dan dilihat dengan mata kasar.
"Manakala yang kedua ialah gelora udara yang memberi kesan buruk kepada beberapa pesawat baru-baru ini yang dikenali sebagai "Clear Air Turbulence". Jenis yang kedua ini tidak begitu bergantung kepada musim," katanya.
Ditanya adakah wujud keperluan kepada mana-mana syarikat penerbangan tempatan untuk menukar haluan penerbangan bila berlaku gelora udara, Abdul Rahmat berkata ia boleh dilakukan untuk mengelak berlakunya gegaran yang teruk kepada pesawat.
"Malangnya "Clear Air Turbulence" sukar dikesan radar mahupun secara visual," katanya.
-Bernama

