Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali ingin tahu sekolah yang dihadiri oleh Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad kerana tidak memahami konsep percukaian.

Ia berikutan kenyataan Nawawi bahawa kerajaan yang membayar gaji ahli parlimen dan bukan rakyat.

“Cuba semak MP Langkawi itu sekolah mana?

“Ibrahim Ali nak tanya MP Langkawi sekolah mana yang dia pergi sebab dia tidak tahu tentang konsep cukai,” katanya.

 Ibrahim berkata gaji setiap ahli parlimen di negara ini dibayar oleh rakyat melalui cukai yang dikenakan sekaligus membidas kenyataan Nawawi bahawa gajinya bukan dibayar oleh wang rakyat.

“Siapa kata gaji wakil rakyat bukan duit rakyat, tanya ahli parlimen Langkawi itu kerajaan ambil duit dari mana?

“Kerajaan dapat duit dari cukai rakyat jadi bererti segala-galanya duit rakyat,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PERKASA hari ini.

Nawawi mengundang kontroversi apabila mengatakan bahawa gajinya tidak dibayar oleh rakyat tetapi adalah daripada kerajaan.

Kenyataannya bahawa dana awam tidak dimiliki oleh rakyat, mengundang kemarahan di kalangan pengguna media sosial.

Nawawi membuat ulasan dalam perdebatan tentang cukai di mana warga maya mengkritik dan mengingatkan beliau bahawa gajinya dibayar oleh rakyat.