"Saya tidak tahu nasib kami sekeluarga untuk berniaga selepas ini bagi mencari rezeki meneruskan hidup," luah seorang peniaga gulai kawah yang gerainya musnah dalam kebakaran di Jalan AU2 B, Taman Keramat, Hulu Klang semalam.

Peniaga wanita berusia 25 tahun itu, yang enggan dinamakan, berkata ketika itu beliau bersama keluarganya sedang berehat di dalam gerai untukberniaga di bazar Ramadan Keramat dan terhidu seakan benda yang terbakar.

"Ketika itu saya sedang berehat bersama keluarga tiba-tiba bau hangit datangdari arah dapur dan saya lihat api besar sedang marak.

"Saya terkejut melihat api dan memanggil ahli keluarga yang lain untuk keluar menyelamatkan diri tetapi tidak untuk mengambil barang-barang lain keranahangus dalam sekelip mata," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.

Beliau yang tujuh tahun berniaga di Taman Keramat berkata selain gerainya yang terbakar, lima gerai sederet dengan gerainya turut terjejas.

Seorang peniaga jamu, Che Umi Mohd Hashim, 49, yang turut ditimpa dengan kejadian yang sama berkata gerai jamunya yang baru sahaja dibuka enam bulan lepas turut musnah.

"Saya terkedu apabila menerima panggilan daripada pekerja saya memaklumkan gerai saya terbakar dan mengetahui kejadian ini pada pukul 4.30 petang tadi," katanya.

Che Umi menyifatkan kejadian itu sebagai satu dugaan baginya dalam meneruskan perniagaan meskipun baru membuka cawangan baru di deretan gerai di Taman Keramat.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3 petang tadi dan tiba 12 minit kemudian di lokasi kejadian.

"Selepas menerima panggilan, saya segera mengerahkan seramai 15 anggota bomba dari balai Keramat dan Setapak serta dua buah jentera FRT untuk ke lokasi.

"Ketika tiba, api marak dengan pantas menyambar gerai bersebelahan serta sebuah kereta jenis Ford Ranger dan bomba mengambil masa selama 20 minit untuk mengawal api," katanya.

Samsol berkata punca kebakaran sedang disiasat manakala jumlah sebenar kerugian gerai itu masih dalam siasatan.

Rumah dihempap pokok

Sementara itu di Tanah Merah, sebuah keluarga di Kampung Chinta Jaya Dalam kerugian kira-kira RM20,000 selepas sebatang pokok petai menghempap rumah mereka dalam satu kejadian ribut petang kelmarin.

Mangsa, Rohani Abu Hassan, 54, berkata kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 5.30 petang, menyebabkan sebahagian ruang tamu termasuk sebuah bilik tidur rosak dalam kejadian itu.

"Semasa kejadian, saya baru sahaja selesai menunaikan solat Asar dan ingin memulakan kerja-kerja menyiapkan juadah berbuka, tiba-tiba hujan lebat turun dan angin kencang.

"Risau sesuatu berlaku, saya ajak empat orang anak berumur 13 hingga 26 tahun keluar ke ruang tamu untuk berjaga-jaga," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya semalam.

Rohani berkata beliau turut melihat sebatang pokok petai yang ditanam kira-kira lima meter dari rumahnya semakin condong akibat dibadai ribut sebelum tumbang dan menghempap rumahnya.

"Saya sempat menjerit kepada suami yang berada di dalam bilik berdekatan pokok yang sedang tumbang itu. Mujur suami dengar jeritan saya dan bergegas keluar dari bilik.

"Saya bersyukur semua anggota keluarga saya selamat, hanya suami sahaja mengalami luka ringan di kepala akibat terkena serpihan kayu," katanya dan menambah perabot dan pelbagai barangan elektronik turut rosak dalam kejadian
tersebut.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanah Merah Wan Zahari Wan Muhammad berkata pihaknya akan memberikan bantuan awal sebanyak RM300 di bawah Skim Tabung Bencana Segera bagi membantu mangsa bencana.

"Selain itu, bantuan sebanyak RM1,500 juga akan diberikan kepada mangsa selepas siasatan dilakukan, namun mangsa perlu melaporkan kejadian kepada kami terlebih dahulu," katanya.

- Bernama