Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 telah diwartakan sebagai undang-undang walaupun selepas Majlis Raja-Raja Melayu menitahkan supaya ia diperhalusi.

Menurut warta yang disiarkan pada Selasa lalu, rang undang-undang itu diisytiharkan sebagai diperkenankan pada 18 Feb, 2016, mengikut Fasal 4 (a) Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Fasal 4 (a) menyatakan bahawa rang undang-undang itu menjadi undang-undang 30 hari selepas ia dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, walaupun Seri Paduka tidak memberi perkenan.

Akta Majlis Keselamatan Negara, antara lain membolehkan penguat-kuasaan darurat di kawasan keselamatan yang diisytiharkan oleh MKN yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

Majlis Raja-Raja pada 17 Febrauri lalu mengembalikan rang undang-undang berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara kerana mahu beberapa peruntukan diperhalusi.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali kemudian berkata beliau akan mengkaji semula beberapa peruntukan itu manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau mengambil maklum cadangan Raja-Raja.

Rang undang-undang itu diluluskan oleh Parlimen pada 22 Disember tahun lalu.

Kerajaan telah dikritik kerana cuba untuk mengenakan pemerintahan diktator di Malaysia, tetapi Najib berkata undang-undang sedemikian diperlukan untuk menangani keganasan.

[Baca berita penuh]