Sultan Johor mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan kepada remaja yang dihukum penjara kerana membuat kenyataan biadap mengenai Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menurut para peguam.

Kuasa untuk memberi pengampunan adalah tertakluk di bawah Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa pemerintah negeri 'mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan, menunda dan membatalkan hukuman atas segala kesalahan lain yang dilakukan di negeri itu " , kata mereka.

"Dengan merujuk kepada kenyataan Tunku Ismail sebelum ini, amat sesuai untuk kes ini dipertimbangkan untuk diberikan pengampunan," kata peguam, Eric Paulsen kepada Malaysiakini, hari ini.

Paulsen merujuk kepada permintaan TMJ baru-baru ini untuk pihak polis tidak menangkap pengkritiknya dan sebaliknya, membiarkan mereka bersemuka dengan beliau sendiri untuk meluahkan apa sahaja.

Muhammad Amirul Azwan Mohd Shakri, 19, telah dihukum penjara selama setahun pada hari Selasa yang lalu oleh Mahkamah Sesyen di Johor Baru, selepas mengaku bersalah terhadap 14 tuduhan membuat komen menghina dengan niat untuk menyinggung perasaan kerabat Johor.

Hukuman tersebut telah mendorong masyarakat umum dan para peguam hak asasi manusia mempersoalkan mengapa remaja itu diberikan hukuman maksimum dan tidak diwakili peguam.

Seorang lagi peguam, New Sin Yew memberitahu Malaysiakini bahawa walaupun sultan Johor boleh memberi pengampunan kepada Muhammad Amirul, remaja itu tidak perlu untuk memohon pengampunan sekarang.

"Tidak ada keperluan untuk memohon pengampunan pada ketika ini. Budak lelaki itu masih boleh membuat rayuan terhadap hukuman tersebut.

"Hakim Mahkamah Sesyen adalah jelas salah dalam menjatuhkan hukuman ," kata beliau.

Biasanya, kata New, orang hanya memohon pengampunan apabila semua saluran rayuan telah digunakan.

[Baca berita penuh]