Memasuki hari kelima siri kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar, calon BN Datin Mastura Mohd Yazid hari ini memperkenalkan lima agenda beliau dengan tema 'Memperjuangkan Harapan Orang Kuale'.

Tiga agenda itu adalah menaiktaraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) kepada universiti awam, menyegerakan kelulusan projek Jambatan Manong dan memohon kelulusan projek membesar dan melebarkan Jalan Manong-Kuala Kangsar.

Dua lagi agenda Mastura adalah menaiktaraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar dan membangunkan semula lembah serta tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.

Membahasakan penduduk Kuala Kangsar sebagai 'Orang Kuale', Mastura berkata kelima-lima agenda itu merupakan ilham Allahyarham suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

"Saya harap saya akan jadi agen buat orang Kuala untuk merealisasikan agenda itu.

"Jadi apa yang memberi kebaikan buat orang Kuala, saya akan utamakan," katanya pada sidang media di rumahnya, di Bukit Chandan, Kuala Kangsar hari ini.

Mengulas lanjut, Mastura berkata seandainya beliau dipilih dalam PRK tersebut, beliau hanya mempunyai dua tahun untuk melaksanakan agenda itu sebelum PRU14.

"Kalau dipilih, saya hanya ada tempoh dua tahun. Saya akan pastikan ia terlaksana dan mendapat perhatian pusat," katanya.

Sementara itu, Mastura berkata setakat ini beliau sangat berpuashati dengan jentera BN.

"Saya mendapat maklum balas yang baik daripada pengundi di sini. Cuma saya ingin memohon maaf kerana tidak turun ke lapangan," katanya.

Beliau juga menasihati anak-anaknya, Wan Emir Astar, Wan Imar Izzat, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Amar supaya menjadi diri sendiri ketika berkempen.

"Saya pesan kepada mereka (anak) supaya membuat dengan seikhlas hati dan menjadi diri sendiri.

"Semua itu sama seperti yang dilakukan arwah suami. Anak-anak menggunakan pendekatan yang serupa ketika berkempen," katanya.

Pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini diadakan berikutan nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, bulan lalu yang mengakibatkan penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terbunuh.

SPR menetapkan 18 Jun depan sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun bagi PRK berkenaan.