"Saya lebih percayakan media dari Datuk Seri Nizar Jamaluddin".

Itu reaksi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika diminta mengulas kenyataan Nizar yang menyalahkan media berikutan ucapan ceramahnya bahawa Allah Taala mahu pengundi Kuala Kangsar mengajar perdana menteri dan timbalannya.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, ini kerana media tidak akan melaporkan perkara yang tidak diperkatakan.

Ismail berkata, beliau sentiasa menyokong media, justeru, anggota parlimen Bera itu yakin dengan apa yang disampaikan baik media arus perdana mahu pun media sosial.

"Saya sentiasa sokong media. Jadi, saya percaya kamu semua dari media mana pun, sama ada media arus perdana, media sosial, walaupun kamu bukan media arus perdana pun, saya percaya kamu semuanya mempunyai etika, takkan lapor benda yang tidak diperkatakan.

"Macam saya cakap hari ini, kamu semua akan laporkan apa saya cakap, takkan kamu buat benda yang saya tak cakap.

Saya lebih yakin dengan media dari Nizar walaupun saya tak dengar (ucapan Nizar) kerana apabila media laporkan, saya percaya memang dia cakap," kata Ismail kepada pemberita dalam majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di Kolej Melayu Kuala Kangsar, sebentar tadi.

Dalam kenyataan media Nizar hari ini beliau menyalahkan media arus perdana dan media sosial kerana didakwa memetik ucapannya di luar konteks sehingga menyinggung perasaan keluarga Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Nizar dalam ceramahnya di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, 6 Jun lalu berkata Allah memilih pilihan raya di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana sebab tersirat.

Katanya, selepas difikirkan mendalam, beliau mengaitkan insiden itu dengan 'kebiadapan' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada 2009.