Kes 'Fat Leonard': Laksamana Tentera Laut AS akan mengaku bersalah
Seorang laksamana Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) akan mengaku bersalah berbohong kepada penyiasat persekutuan dalam skandal rasuah 'Fat Leonard', kata peguamnya.
Laksamana Robert Gilbeau, pembantu khas kepada Ketua Kor Bekalan Tentera Laut AS, sepatutnya hadir di hadapan Mahkamah Daerah AS di San Diego lewat semalam, di mana dia akan mengaku bersalah atas satu tuduhan membuat kenyataan palsu kepada penyiasat.
"Dalam situasi malang ini, beliau menerima tanggungjawab terhadap keputusan yang dibuatnya dan bagi perilakunya," kata peguam David Benowitz, seperti yang dilaporkan oleh The Washington Post.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dakwaan yang dibuat terhadap anak guamnya.
Selepas mengaku bersalah, Gilbeau akan menjadi pegawai pangkat tertinggi didapati bersalah dalam kes ini, dengan empat pegawai lain yang sudah pun mengaku bersalah dan berdepan dengan hukuman penjara.
Skandal rasuah 'Fat Leonard' melibatkan alihan kapal tentera laut Amerika ke beberapa pelabuhan Asia Tenggara yang dimiliki kontraktor Malaysia 'Fat' Leonard Francis (foto).
Francis mengaku bersalah pada tahun lepas memberi rasuah kepada beberapa pegawai tentera laut AS, lapor Washington Post.
Dia mengaku memberi rasuah kepada pegawai Tentera Laut dalam bentuk "wang tunai, seks dan hadiah bernilai jutaan dolar", lapor akhbar AS itu, supaya dia boleh memenangi lebih banyak kontrak pertahanan.

