BERSIH desak standard kempen tinggi di 2 PRK
Parti politik dan calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar digesa menetapkan standard kempen lebih tinggi berbanding apa yang berlaku sekarang.
Menurut BERSIH mereka terkejut dengan perjalanan kempen di kedua-dua kawasan yang akan mengundi pada 18 Jun ini, terutama membabitkan beberapa insiden sejak beberapa hari lalu yang mendorong kepada suasana negatif.
Dalam kenyataan dikeluarkan pertubuhan pendesak perjalanan pilihan raya adil itu berkata, ada beberapa insiden yang tidak sepatutnya berlaku. Antaranya ialah:
- Serangan merosakkan bahan kempen dan bilik operasi calon
- Kenyataan berbaur seksis oleh calon bebas, Izat Bukhary di Kuala Kangsar, yang menyatakan di bertanding kerana "tidak percaya" kepada pemimpin wanita
- Ancaman dibuat penyokong PAS terhadap Parti Amanah Negara (AMANAH) pada hari penamaan calon dengan menggelar mereka "pengkhianat" dan "kuburkan kuffar"
- Gangguan ceramah Pakatan Harapan di Kuala Kangsar - membabitkan bantahan pihak lain yan mendakwa ia mengganggu sembahyang terawih, dan
- Mesej politik yang menambahkan lagi suasana kempen tidak sihat seperti papan tanda oleh DAP di Sekinchan (ia diturunkan kemudian selepas dikritik)
Dalam sebarang kempen, kata BERSIH, perlu bagi semua pihak terbabit melaksanakannya secara bertamadun.
"Ia akan lebih membantu calon dan parti politik menumpukan perhatian kepada isu kepentingan awam yang lebih penting, seperti skandal 1MDB, kelemahan ekonomi dan kemerosotan hak awam serta kebimbangan pengundi setempat," kata kenyataan itu.
Menggesa semua pihak menerima semangat pelaksanaan pilihan raya bersih, bebas dan adil, BERSIH berkata semua calon dan parti politik mesti bertanggungjawab menetapkan tahap kematangan politik dan demokrasi lebih tinggi.
Ia, kata BERSIH, selaras dengan aspirasi rakyat negara ini.

