Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Hutang kerajaan jauh lebih kecil berbanding AS, Jepun
Diterbitkan:  Jun 10, 2016 2:10 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kedudukan hutang negara ketika ini masih berada pada tahap yang mampu ditangani oleh kerajaan.

"Jumlah hutang Amerika Syarikat, Jepun dan Singpura lebih besar jika dibandingkan dengan pendapatan perkapita mereka," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kejatuhan harga getah 2016 di Kuala Kangsar, Perak.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah pada Selasa berkata sehingga akhir 2015, hutang kerajaan Persekutuan yang merangkumi hutang domestik dan hutang luar pesisir, mencatat RM630.5 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Sehubungan itu, Najib meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu kononnya negara mempunyai hutang yang amat banyak.

"Pakai dan dengar apa yang Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) cakap. Semua cakap ekonomi negara di bawah Barisan Nasional (BN) diurus dengan baik," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata pengurusan ekonomi yang cekap membolehkan kerajaan terus memberi pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat di sebalik kelembapan ekonomi global.

Beliau memberi contoh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terbukti memberi kebaikan kepada rakyat, termasuk pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Aidilfitri, yang merupakan hasil daripada kutipan GST.

"Inilah sebabnya bila Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) minta bantuan raya, kita dapat beri. Kalau tiada cukai macam mana kerajaan dapat bagi.

"Sistem ini (GST) bukan nak susahkan rakyat, tapi ia untuk kebaikan negara. Bila hasil bertambah, kita pulangkan balik kepada rakyat," kata Perdana Menteri.

GST dilaksanakan mulai 1 April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS