Seorang suri rumah dihadapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memiliki barang yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, Mac lepas.

Tertuduh, Siti Nor Intan Shafinaz Johari, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Ibu kepada seorang cahaya mata berusia lapan tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di No. 104, Kampung Ujung Tanjung, Kuala Perlis pada pukul 8.15 pagi, 22 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana barang tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalan manakala tertuduh diwakili peguam Faridah Mohammad.

Mahkamah menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. Hari ini merupakan kali pertama kes itu disebut di Mahkamah Tinggi.

Siti Nor Intan didakwa di Mahkamah Majistret Kangar atas pertuduhan yang sama pada 19 April lalu, tetapi tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding itu.

- Bernama