Seorang wanita warga Thailand maut selepas tertimbus tanah ketika melakukan aktitivi mencari emas di Felda Chalok Barat, Setiu, semalam.
Mangsa yang dikenali Miss Mariya Maae, 30, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Setiu.
Ketua Polis Daerah Setiu DSP Elias Abu Bakar berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa bersama bapa tirinya dan seorang lagi anggota keluarganya pergi ke sebatang sungai di Felda Chalok Barat untuk menggali emas.
Katanya ketika sedang melakukan aktiviti tersebut, tiba-tiba tanah runtuh dan terus menghempap mangsa.
"Susulan runtuhan itu menyebabkan mangsa tertimbus dalam runtuhan tanah berkenaan dan mangsa hanya berjaya ditemukan pada pukul 2 petang oleh bapa tirinya yang juga peneroka di Felda berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya, mayat mangsa kemudian terus dibawa ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat.
- Bernama
