Undi AMANAH bermakna undi DAP, kata Khairy
Parti Amanah Negara (AMANAH) terdiri daripada individu kecewa daripada PAS yang mengikut arahan kepimpinan DAP, kata ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, pemimpin AMANAH enggan mengikut arahan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan memilih untuk tunduk kepada veteran DAP Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng.
Oleh itu, Khairy berkata, pengundi di Kuala Kangsar yang mengundi AMANAH adalah secara tidak langsung mengundi DAP.
“Undi PAN (AMANAH) adalah undi untuk DAP jadi jangan kita fikir mengundi PAN adalah untuk PAS," katanya dipetik Umno Online.
Ahli Parlimen Rembau itu turut meminta pengundi menolak calon PAS kerana hanya BN yang mampu menjamin masa depan negara.
"Begitu juga jika undi PAS kerana kita tak tahu undi siapa sebab dalam PAS ada yang menjadi agen-agen PAN seperti (MP Pokok Sena) Mahfuz (Omar).
"Kita pun tak tahu siapa yang mengawal PAS sedangkan kita nak jaga masa depan bangsa kita, nak jaga orang kampung kita dan yang boleh berbuat demikian tidak lain dan tidak bukan hanya Barisan Nasional (BN),” ujarnya ketika berucap dalam program Santai Anak Muda Bersama YBKJ di Kampung Tanah Lepan di Kuala Kangsar, semalam.
Sehubungan itu, Khairy meminta pengundi memilih calon BN Mastura Mohd Yazid pada pilihan raya kecil 18 Jun ini, yang akan menjadi perebutan empat penjuru antara BN, PAS, AMANAH dan calon bebas.
Pengerusi Pemuda BN itu juga memperlekeh parti-parti pembangkang kerana perbezaan mereka yang membawa kepada PAS dan DAP berubah daripada sekutu kepada lawan.
“Dulu parti-parti pembangkang berpakat dengan nama Barisan Alternatif, kemudian menjadi Pakatan Rakyat dan terkini, mereka meletakkan nama Pakatan Harapan, esok-esok tak tahulah mereka nak berpakat atas nama apa pula.
"Bagaimana mereka hendak memerintah? Bagaimana mereka akan menjadi parti pemerintah dan melindungi kepentingan rakyat?" soalnya.

