Akta MKN: Zahid, Nancy kunci mulut
Menteri-menteri kerajaan, termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengelak daripada menjawab mengenai Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang diwartakan tanpa perkenan diraja.
Zahid enggan menjawab ketika ditanya bila Rang Undang-undang itu akan dikuatkuasakan.
"Mari kita beri tumpuan kepada pilihan raya Sungai Besar dulu," katanya dengan senyuman janggal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi undang-undang Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan juga enggan mengulas.
Pada 17 Februari lalu, Majlis Raja-Raja meminta supaya Rang Undang-undang MKN yang akan memberi kuasa mengiystihar darurat kepada Majlis Keselamatan Negara yang diketuai Perdana Menteri diperhalusi.
Bagaimanapun, menurut warta, Rang Undang-undang MKN secara automatik diperkenankan pada hari berikutnya pada 18 Februari di bawah Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan ini memberi persetujuan automatik kepada mana-mana undang-undang jika Yang di-Pertuan Agong tidak memberikan perkenan dalam tempoh 30 hari apabila undang-undang itu dikemukakan kepada baginda.
Rang undang-undang itu diwartakan menjadi undang-undang pada hari Selasa, walaupun tarikh penguatkuasaan masih belum ditetapkan.
Nancy, ketika ditemui selepas melawat calon BN Kuala Kangsar Mastura Mohd Yazid berkata, rang undang-undang itu tidak berada di bawah bidang kuasa beliau.
"Ia bukan di bawah saya, Ia di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim," kata beliau.
Sementara itu, Ahmad Maslan, yang juga ketua perang siber Umno, enggan melayan soalan Malaysiakini mengenai perkara ini.
"Tak apalah. Saya tidak mahu jawab. Soalan seterusnya," katanya.
Pengkritik berpendapat kuasa darurat seperti yang diperuntukkan dalam RUU MKN akan merampas kuasa Agong untuk mengisytiharkan darurat.
Mereka juga menyuarakan kebimbangan bahawa ia boleh digunakan untuk melumpuhkan perbezaan pendapat.

