Pemuda Umno Selangor hari ini membuat satu laporan polis berhubung sebuah papan tanda yang memaparkan kempen parti yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, dipamerkan di pekan Sekinchan.

Ini merupakan 'drama' kedua membabitkan isu papan tanda berlaku dalam kempen PRK di Sungai Besar, selepas kontroversi papan tanda berunsur tohmahan dan provokatif, yang mana kedua-duanya dikaitkan dengan parti DAP.

Papan tanda dengan gambar Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Suee Lim yang memegang maskot burung enggang serta tulisan "Jom Balik Undi" itu dipamerkan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sekincan.

Hadapan badan burung enggang itu diletakkan logo roket iaitu parti DAP selain diletakkan jata negeri Selangor.

Ketua Pemuda Umno Selangor Zainuri Zainal yang membuat laporan polis pada jam 2.40 petang tadi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap papan tanda itu yang melanggar undang-undang pilihan raya kerana menggunakan lambang atau memaparkan lambang parti yang tidak bertanding.

"Bagaimana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor boleh luluskan papan tanda ini? Ini serius dan sepatutnya parti yang tidak bertanding tidak boleh paparkan logo mereka dalam papan tanda itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di ibu pejabat polis daerah Sekinchan di Sunga i Besar hari ini.

Difahamkan papan tanda itu telah didirikan selepas hari penamaan calon, sejak beberapa hari lalu.

Zainuri yang juga Ketua Pemuda Umno Selangor mahu polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera menyiasat perkara ini dan menurunkan papan tanda itu segera kerana melanggar etika pilihan raya.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi, Dr Abdul Rani Osman (PAS) dan Azhar Abdul Shukur (Parti Amanah Negara).

Sementara itu Ng ketika dihubungi mengakui papan tanda itu dinaikkan selepas hari penamaan calon dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu.

Ng bagaimanapun menafikan menggunakan peruntukan kerajaan negeri untuk mendirikan papan tanda berkenaan.

PRK Parlimen Sungai Besar diadakan berikutan penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

- Bernama