Ramesh Rao buat laporan terhadap Mkini mengenai SD kedua 'palsu'
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao membuat laporan polis terhadap Malaysiakini hari ini berhubung satu berita mengenai akuan bersumpah SD) yang didakwa dibuat oleh pengaturcara komputer Azharuddin Othman.
Katanya, beliau membuat laporan polis terhadap Malaysiakini kerana mendakwa terdapat beberapa percanggahan dalam berita tersebut.
"Ada dua ayat berbeza. Mula-mula dia kata yang SD kedua tu, yang pembuat SD kedua tu tampil ke hadapan. Bermakna, dia sendiri tampil ke hadapan dengan SD kedua itu.
"Lepas tu, Malaysiakini pusing balik dan (disunting untuk mengatakan) 'hari ini didakwa tampil dengan SD'.
"Ini adalah dua ayat berbeza yang boleh memeningkan rakyat," kata Rao kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Beliau berkata biasanya berita pertama diterbitkan akan dianggap betul, dan dalam komen, orang akan menganggap portal berita itu telah ditekan supaya menukar ayat itu.
Beliau merujuk kepada versi berita dalam bahasa Melayu dan perkataan "didakwa" yang hanya ditambah kepada perenggan pertama berita itu kemudiannya.
Oleh itu, Rao berkata beliau membuat laporan itu supaya polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan meneliti perkara itu.
Dalam laporan polis itu, beliau juga tersilap menyatakan artikel itu diterbitkan oleh jurugambar Malaysiakini, Lim Huey Teng.
Dalam artikel asal yang dinyatakan, Malaysiakini telah memasukkan penafian mengenai SD kedua itu oleh Badrul Hisham Shaharin, yang juga dikenali sebagai Chegubard, yang telah membantu Azharuddin dalam SD pertama itu.
Dalam mesej teks, beliau menyifatkan SD baru sebagai "fitnah oleh kumpulan Mahathir".
Nafi buat SD kedua
Dalam SD yang pertama, Azharuddin mendakwa berlaku penipuan dalam petisyen Deklarasi Rakyat, dengan mendakwa bahawa dia menjual pangkalan data 900,000 nama kepada Syarul Ema Rena Abu Samah untuk tujuan perisytiharan itu.
Pada hari Khamis, SD kedua yang mempunyai nama Azharuddin disebarkan di media sosial, termasuk laman Facebook Otai BERSIH dan Kelab Mukhriz Mahathir.
Dalam SD kedua yang dikatakan itu, beliau kononnya mendakwa SD pertama yang didedahkan kepada media pada 26 Mei mengandungi "kesilapan".
Bagaimanapun, dia telah mengadakan sidang akhbar menafikan bahawa dia membuat SD kedua itu.
Rao berkata menjadi "budaya" Malaysiakini ialah menerbitkan cerita dahulu, dan kalau ada kesilapan, ia akan cepat disunting, tetapi tambahnya, kerosakan telah dilakukan.
Beliau memetik etika kewartawanan, dengan mengatakan bahawa nota editor sepatutnya dimasukkan dalam cerita, yang menyatakan bahawa mereka telah menambah perkataan "didakwa".

