ULASAN | Saya sedang leka membaca rencana tentang allahyarham Muhammad Ali yang ditulis Karl Taro Greenfeld apabila tiba-tiba ingatan ini dibayangi lintasan aneh.

Lintasan itu hadir begitu awal, sebenarnya. Saya baru di perenggan kedua dan menghadam fakta bahawa Muhammad Ali memilih Islam sebagai agamanya pada 25 Februari 1964.

Ia adalah tiga purnama sebelum John F Kennedy ditembak mati, dua minggu sebelum kumpulan Beatles muncul buat pertama kali dalam rancangan Ed Sullivan Show dan setahun sebelum Malcolm X dibunuh.

"Saya sudah meninggalkan halaman-halaman sukan, sekarang saya pergi ke muka depan," kata Muhammad Ali kepada wartawan majalah Sports Illustrated pada 1967 mengenai 'kedegilan' beliau untuk tidak dihantar ke Vietnam untuk berperang bagi pihak Amerika Syarikat (AS).

Ekoran pendiriannya itu, gelaran juara heavyweight Muhammad Ali digugurkan dan dia dilarang hidup sebagai petinju selama tiga tahun.

Dia kemudian menjadi ikon 'kaki lawan' yang mempersonakan ramai orang.

Saya cuba memejamkan mata untuk melihat apakah lintasan yang tiba-tiba menerjah masuk ke fikiran. Sukar pada awalnya namun kemudian ia menjadi semakin terang dan jelas.

Tidak dapat dipastikan bila saya membaca berita tentang anggota parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad. Namun bayangan beliaulah yang rupa-rupanya muncul dalam minda saya ketika itu.

Benih baru politik negara

Sudah lama saya mengagumi beliau, sebenarnya. Menganggap beliau sebagai ikon dan hero mungkin agak awal dan keterlaluan. Saya tidak berani dengan risiko begitu. Malah saya mungkin akan kehilangan ramai kawan jika saya mengisytiharkannya begitu.

Namun saya yakin beliau seorang ikon yang hebat dan wajar dikagumi.

Ketika orang lain mengeji dan menghentam kenyataan Nawawi tentang makna "wang rakyat" saya sepenuh hati bersama dengan pendapatan beliau. Er, maksud saya, "pendapat" beliau.

Nawawi sebagai Nawawi adalah 'benih baru' kepada politik yang diperlukan negara ketika ini. Beliau mungkin mendapat pendidikan formal sebagai jurutera namun pengetahuannya tentang ekonomi, kewangan, pentadbiran dan kerajaan tentu hebat belaka.

Ketika orang ramai bermulut celupar mendakwa mereka adalah pihak yang menyumbang dana kerajaan, Nawawi tegas memberikan definisi baru yang amat segar tentang isu berkenaan.

Setiap wang yang dikeluarkan rakyat dari saku (atau akaun) mereka akan menjadi hak kerajaan sebaik saja ia memasuki kantung kerajaan. Ia semudah A, B, D dan, er, T.

Malah keberanian beliau menegaskan bahawa seseorang wakil rakyat tidak menerima wang daripada rakyat adalah suatu ketegasan yang wajib dipuji.

Memanglah seseorang yang memenangi pilihan raya dipanggil wakil rakyat. Pedulilah sama ada dia seorang ADUN atau anggota parlimen. Wakil rakyat hanyalah gelaran yang bersifat luaran.

Gelaran "wakil rakyat" untuk seseorang ADUN atau MP itu bukan tunggal. Selain itu mereka juga digelar "yang berhormat" atau "YB". Nampak - tidak ada sepatah pun perkataan "rakyat" pada "yang berhormat" itu?

Jangan soal banyak

Tugas seseorang ADUN atau MP bukanlah bercakap mewakil rakyat semata-mata. Mereka juga kadang-kadang mewakili kerajaan, atau parti yang dianggotai. Atau orang yang ada di sekeliling mereka.

Justeru, rakyat janganlah keterlaluan menyoal mereka, atau tugas yang dilaksanakan mereka. Kumpulan manusia bergelar YB adalah cerdik-cerdik dan pintar belaka. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk negara.

Dan lebih penting daripada segalanya - seperti kata Nawawi - gaji mereka bukan dibayar oleh kita, rakyat jelata.

Jika tidak suka dengan wakil rakyat masing-masing, tunggu saja pilihan raya umum, atau pilihan raya kecil yang akan diadakan dari semasa ke semasa.

Ketika itu - apabila calon-calon bertanding datang melawat rakyat jelata - kita mesti merafak hormat dan takzim kepada mereka kerana sanggup meluangkan masa beramah mesra ketika itu sebenarnya bukan tugas mereka.

Daripada membebel dan merungut adalah lebih afdal untuk kita - rakyat ini - bekerja bersungguh-sungguh mencari kehidupan dan membayar cukai kepada kerajaan.

Cukai pendapatan, cukai jalan, cukai barangan dan perkhidmatan, dan apa saja cukai lain tidak ada kena mengena dengan gaji wakil-wakil rakyat. Percayalah.

Kerajaan mempunyai sumber kewangan sendiri untuk diberikan kepada wakil-wakil rakyat di negara ini dan ia memang tidak ada kaitan dengan sumbangan kita - rakyat ini - kepada negara.

Sebenarnya elok juga dilihat mengapa anggota parlimen Langkawi itu menimbulkan isu gaji dan sumbangan rakyat itu. Ia bermula di Facebook. Berkaitan dengan kenyataan seorang guru di Denmark yang membuka mata banyak pihak tentang kebajikan sesebuah kerajaan.

Hak majikan, pekerja

Kerajaan negara itu mungkin nampak cekap dan hebat kerana menyediakan pelbagai kemudahan secara percuma kepada rakyatnya. Namun apabila dihitung pelbagai cukai yang dikenakan, rasanya tidak berbaloi segala kemudahan yang diberikan tanpa bayaran itu.

Berbeza dengan Malaysia, kan? Di negara ini cukai-cukai yang dikenakan begitu rendah, berperikemanusiaan dan penuh hemah. Kerana itu kita dihormati dan disegani sehingga ada hartawan terbuka hatinya memberikan derma sebanyak RM2.6 bilion!

Pedulilah jika Datuk Dr Haron Din tidak meyakininya tetapi ia disahkan memang begitu.

Dan pemimpin negara menunjukkan jiwanya yang besar dengan memulangkan sebahagian besar derma itu selepas ia menjadi punca kemarahan ramai orang.

Mengikut logik Nawawi, wang yang sudah diserahkan kepada seseorang, ia bukan lagi hak pemberi. Kira-kira samalah seperti sebuah syarikat yang menggaji pekerjanya.

Sebaik saja wang gaji itu berpindah tangan, majikan tidak lagi berhak bertanyakan sama ada tenaga yang diberikan kepada syarikat itu berpadanan dengan wang yang dibayar atau tidak.

Pedulilah jika pekerja itu tidur lima jam daripada lapan jam waktu kerjanya. Ia bukan salah pekerja, sebaliknya adalah salah majikan, kan?

Saya kemudian menyambung kembali membaca artikel mengenai tokoh legenda Nawawi. Eh, maksud saya, Muhammad Ali.

"There will never be another Muhammad Ali. Athletes today are too rich to take political risks," kata Greenfeld.

Membaca artikel yang agak panjang di komputer riba yang lembab memang selalu mencabar kesabaran. Namun sebaik terbayang wajah Nawawi, saya menarik nafas panjang dan puas.

Meskipun pendapatnya mengenai wang rakyat dan wang kerajaan itu dikatakan beliau bersifat peribadi, alangkah bagusnya jika Putrajaya mengambil langkah berani menjadikan ketetapan itu sebagai pendirian rasmi kerajaan.

Nawawi adalah salah seorang ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Saya mengimpikan beliau menjadi pengerusi PAC tidak lama lagi.

Kemudian mudah-mudahan beliau diberi kepercayaan pula menjadi menteri menjaga hal ehwal kewangan dan ekonomi.