Rawatan Anwar: Penjara dijangka putuskan rayuan minggu depan
Jabatan Penjara Malaysia dijangka membuat keputusan minggu depan berhubung kebenaran Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima rawatan sakit tulang belakang di Jerman.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu, melalui peguamnya Sankara Nair, menulis kepada Ketua Pengarah jabatan itu Datuk Omar Muhammad Dan dua hari lalu dan menggesa pegawai tinggi itu menggunakan kuasanya bagi membolehkan beliau menerima rawatan itu.
Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, seorang kakitangan jabatan itu mengesahkan surat itu telah diterima semalam.
Beliau bagaimanapun berkata Omar berada di Kuantan dan "belum membaca surat berkenaan." Omar dijangkakan berada di Kuala Lumpur pada Isnin depan.
Seksyen-seksyen 42 dan 43 Akta Penjara memperuntukkan kuasa kepada ketua pengarah membebaskan seseorang banduan dengan jaminan tertentu bagi menerima rawatan, termasuk di luar negara.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), dalam satu kenyataan 31 Mei, juga menyokong hak Anwar mendapatkan rawatan pilihannya sendiri.
Anwar bertegas mendapatkan rawatan sakit tulang belakangnya daripada pakar Dr Thomas Hoogland di Alpha Klinik, Munich.
Bagaimanapun Perdana Menteri, dalam satu pertemuan dengan tiga pemimpin pembangkang 24 Mei lalu, berkata keputusan tidak membenarkan Anwar dirawat di luar negara adalah muktamad.
Anwar pernah dirawat di Hospital Kuala Lumpur mulai 25 November hingga 10 Mei lalu dan dibawa pulang ke Penjara Sungai Buloh selepas menolak tawaran kerajaan untuk dirawat di hospital itu.
Dalam surat itu, Sankara berkata peralatan untuk rawatan Anwar di penjara itu masih "belum dipasang" dengan lengkap.
"Anak guam kami menderita di penjara, dalam bilik kurungan seorang diri, dalam keadaan sama seperti sebelum dihantar ke HKL untuk rawatan," kata Sankara lagi.
"Kami menganggap keadaan ini sebagai satu perbuatan mungkir janji pihak HKL dan pencabulan serius etika perubatan doktor-doktor hospital itu."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.