MT Umno tolak syarat Dr M kembali pada Umno
"Dah tak larat marah, sekarang kesian dengan Tun M," kata anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Abdul Rahman berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan dua syarat untuk beliau kembali bersama parti yang memperjuangkan nasib orang Melayu itu.
Kata Abdul Rahman, pemimpin Umno kini sudah berada pada satu tahap di mana mereka tidak lagi boleh berasa marah, sebaliknya, cuma berasa sedih dengan apa yang diperlakukan pemimpin Tun Mahathir.
"Saya rasa kita dah sampai satu tahap di mana kita tidak lagi boleh marah dan hanya sedih apabila melihat seorang negarawan yang membuat pusingan 180 darjah dengan menyokong pembangkang," kata Abdul Rahman dalam sidang media di Kuala Kangsar, hari ini.
Justeru, Abdul Rahman berkata, apa yang perlu dibuat kini hanyalah menunggu agar Tun Mahathir bersedia untuk kembali kepada Umno.
Namun, ujar Abdul Rahman, biarlah ia dibuat tanpa sebarang syarat.
"Timbalan presiden Umno telah menghulurkan tangan untuk beliau kembali kepada Umno tapi tak apalah kita akan tunggu sampai bila Tun M bersedia untuk beliau kembali bersama kita dan kalau boleh biarlah tanpa syarat," tegas Abdul Rahman.
Terdahulu, Tun Mahathir meletakkan dua syarat kepada kepimpinan Umno jika mahu beliau kembali kepada Umno.
Dua syarat itu adalah Tun Mahathir mahu Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak disingkirkan dan parti itu dipulihkan semula.
Terdahulu Abdul Rahman menghadiri program Komuniti 3R Kuale bersama menteri KPKT di Taman Rancangan Perumahan Awam Fasa 4, Kuala Kangsar.
Dalam ucapan beliau, Abdul Rahman menyeru penduduk perumahan tersebut mengamalkan amalan kitar semula iaitu 3R.
3R ialah kurang, guna semula dan kitar semula.

