Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketiadaan poster memaparkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar terus dijadikan isu oleh pembangkang.

Walaupun sudah dijelaskan BN sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub berkata Najib kini dilihat memberi kesan negatif terhadap peluang mereka.

“Kita lihat dari perjalanan luar bandar ke bandar, gambar Najib tidak ada.

“Maksudnya BN sendiri mengakui bahawa gambar Najib beri kekurangan undi kepada BN,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku sekarang tidak seperti era pentadbiran perdana menteri lain.

“Gambar PM (sebelum ini) digandingkan dengan calon bagi dapat kekuatan,” katanya kepada Malaysiakini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim sebelum ini sudah berdepan soalan pemberita berkaitan isu itu, termasuk dakwaan ketiadaan poster besar BN.

Katanya, keputusan tersebut diambil bagi mengurangkan pembaziran, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.

Salahuddin berkata berkemungkinan wajah Najib dielakkan supaya rakyat tidak terfikir isu kontroversi dalam negara.

“Bagi saya sengaja tak letak gambar Najib kerana bila lihat gambar Najib nampak 1MDB, GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan juga isu derma RM2.6 bilion.

“Maknanya Najib liabiliti kepada BN sehingga tidak boleh bawa nilai tambah kepada calon,” katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan berikutan penyandangnya Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon yang terkorban dalam nahas helikopeter di Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Jun sebagai hari mengundi bagi kedua-dua kerusi itu.

Lihat Komen
ADS