Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM belum tentukan tarikh laksana Akta MKN - menteri
Diterbitkan:  Jun 14, 2016 9:22 AM
Dikemaskini: 1:29 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak belum menetapkan tarikh bagi penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Nancy berkata Akta MKN itu telah diwartakan pada 7 Jun lalu.

Beliau berkata Rang Undang-undang (RUU) berkenaan menjadi undang-undang setelah ia melepasi tempoh tiga puluh hari yang perlu untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Ini selaras dengan Fasal (4A) Artikel 66 Perlembagaan Persekutuan," kata beliau dalam satu kenyataan.

Pada 17 Februari lalu, Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-240, selepas dipersembahkan taklimat oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali di Istana Negara, berpendapat beberapa peruntukan dalam RUU MKN perlu diperhalusi.

RUU MKN, yang memperuntukkan penubuhan MKN, perisytiharan kawasan keselamatan, kuasa-kuasa khas Pasukan Keselamatan di kawasan keselamatan dan perkara-perkara lain berkaitan, diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015, dan Dewan Negara, pada 22 Disember, 2015.

Nancy berkata menurut subseksyen 1(2) Akta MKN 2016, akta itu akan berkuatkuasa pada tarikh yang akan ditetapkan oleh perdana menteri dan tarikh itu akan diterbitkan dalam Warta berkenaan.

Lihat Komen
ADS