‘Nazri elak isu tak hormati Raja-Raja Melayu'
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz cuba mengelakkan isu tidak menghormati Raja-Raja Melayu berhubung dengan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.
"Tidak syak lagi bahawa tindakan terus mewartakan Akta MKN sebagai undang-undang tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong tanpa mempertimbangkan cadangan oleh Majlis Raja-Raja, bukan sahaja tidak menghormati tetapi adalah penghinaan terhadap baginda," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Nazri (kanan) dilaporkan berkata tidak ada peruntukan bagi pindaan perlu dilakukan atas sebab cadangan oleh Majlis Raja-Raja.
Beliau berkata sebarang pindaan ke atas Akta MKN itu hanya boleh dilakukan pada sesi parlimen akan datang dan dibentangkan sebagai rang undang-undang (RUU) baru.
Bagaimanapun Lim mempersoalkan jika kes itu adalah sedemikian, mengapa pindaan MKN tidak dibentangkan semasa persidangan parlimen Mei lalu?
Menurutnya, ini khususnya selepas Majlis Raja-Raja mengembalikan RUU MKN kepada Jabatan Peguam Negara untuk "diperhalusi" pada 17 Februari lalu.
"Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, ketika itu berkata beliau akan mengkaji semula beberapa bahagian rang undang-undang manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau mengambil maklum cadangan Raja-Raja '," kata Lim.
Oleh itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan telah memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan Majlis Raja-Raja, walaupun tidak ada peruntukan dalam perlembagaan yang memberi kuasa kepada baginda untuk mengarahkan kerajaan supaya "memperhalusi" mana-mana rang undang-undang.
"Oleh kerana kedua-dua Perdana Menteri dan Peguam Negara telah berjanji untuk memberi cadangan Raja-Raja pertimbangan yang sewajarnya, adakah ini telah dilakukan dan jika ya, mengapa perkara yang diperhalusi itu tidak dibawa ke parlimen melalui pindaan rang undang-undang pada sidang Mei lalu?" soal Lim.

